AMPANG JAYA: Polis menahan seorang wanita warga China yang disyaki memandu dalam keadaan mabuk sehingga melanggar empat buah kenderaan di Jalan Bunga Mawar 5A, Taman Muda, Ampang, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohammed Farouk Eshak berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam Selasa, suspek berusia 54 tahun yang memandu Proton Wira itu dikatakan hilang kawalan apabila tiba di Jalan Bunga Cempaka 2 dan melanggar sebuah kereta Mazda yang diletakkan di bahu kiri jalan.

Katanya, suspek kemudian mengundurkan keretanya dan melanggar pula sebuah lagi kereta Honda City di bahu kanan jalan. 

"Akibat perlanggaran itu, kereta Honda City teranjak ke hadapan dan melanggar kereta Chevrolet yang diparkir di hadapannya.



"Suspek seterusnya memandu ke arah Jalan Bunga Mawar 5A namun sebaik sampai di jalan itu, dia sekali lagi hilang kawalan lalu melanggar Proton Saga yang diparkir di tepi kanan jalan dan sebatang tiang lampu di tepi kiri jalan," katanya dalam kenyataan media pada Rabu.

Mohammed Farouk menambah, suspek kemudiannya mengundurkan kereta hingga terhenti di dalam garaj yang terdapat di tepi kiri jalan.

Ujian kandungan alkohol dalam darah suspek yang dijalankan menggunakan mesin jenis EBA-II katanya, mendapati tahap kandungan alkohol pemandu melebihi had yang dibenarkan.

Beliau memberitahu, suspek kini ditahan reman sehingga 27 Mac ini bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dijalankan.

Katanya, jika disabit bersalah, suspek boleh dikenakan hukuman denda antara RM5,000 dan RM10,000 serta boleh juga dipenjara selama tidak melebihi 12 bulan.

"Mereka yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Inspektor Nur Nadzirah Abdul Rahim di talian 012-4401093," ujarnya.