KUALA TERENGGANU: Seorang wanita warga emas mengalami kerugian apabila wang simpanannya sebanyak RM24,000 lesap akibat terjerat dengan penipuan 'Love Scam' oleh seorang lelaki yang dikenalinya melalui laman sosial Facebook.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata wanita berusia 69 tahun itu telah mengenali lelaki yang mendakwa dirinya warganegara Norway dan bekerja sebagai jurutera petroleum itu sejak September tahun lepas.

"Mangsa telah diberitahu bahawa lelaki tersebut merupakan seorang jurutera petroleum dan sedang mengalami masalah enjin kapal di tengah laut. Mangsa telah diminta untuk membayarkan baki bayaran enjin kapal yang baharu sebanyak RM50,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mazli berkata oleh kerana yakin dengan lelaki tersebut, wanita yang sudah tidak bekerja itu membuat pindahan deposit tunai ke dalam satu akaun sebanyak RM24,000 di Pejabat Pos Kuala Terengganu pada Rabu (20 Mac) lepas.

Beliau berkata mangsa cuba membuat pindahan deposit tunai kali kedua sebanyak RM24,000 di pejabat Pos pada Khamis (21 Mac) namun, kakitangan di situ menasihatinya dan memberitahu bahawa dia dipercayai telah menjadi mangsa 'Love Scam'.

Sehubungan itu, Mazli menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan individu yang tidak dikenali dan mengelakkan diri dari membuat bayaran ke akaun individu lain.

"Orang ramai juga boleh menyemak status nombor akaun melalui portal CCID https://semakmule.rmp.gov.my sekiranya ingin membuat sebarang transaksi yang meragukan.

-- BERNAMA