Skip to main content

Malaysia

Wanita warga emas maut terjatuh dari bot di Tasik Kenyir

Sumber: Sinar Harian
Mangsa dibawa menaiki bot Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara selama sejam sebelum sampai ke daratan Tasik Kenyir. - Foto Sinar Harian
Advertisement

KUALA BERANG: Seorang wanita warga emas maut selepas bot yang dinaikinya terbalik akibat terlanggar tunggul kayu di sekitar Gua Bewah, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata mangsa Wan Esah Wan Daud, 63, dari Felda Chiku, Kelantan datang ke Tasik Kenyir untuk bercuti di rumah bot bersama-sama 27 ahli keluarga.

“Pada 11 pagi semalam, mangsa menaiki rumah bot dari Tasik Kenyir menuju ke Taman Negara. Ketika sampai di lokasi kejadian kira-kira 4 petang, mangsa dan tiga ahli keluarga turun dari rumah bot yang diparkir di Gua Bewah untuk bersiar-siar dengan menaiki bot sebelum terlanggar tunggul kayu.

“Pelanggaran itu menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam air dan terperangkap di bawah bot. Mangsa berjaya diselamatkan ahli keluarga lain dan dibawa ke rumah bot,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sharudin berkata anak lelaki mangsa cuba memberikan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) namun mangsa tidak menunjukkan perkembangan positif.

Mangsa kemudiannya dibawa menaiki bot Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) selama sejam sebelum sampai ke daratan Tasik Kenyir.

“Mangsa yang mempunyai sejarah penyakit paru-paru disahkan meninggal dunia akibat lemas dan tiada unsur jenayah dikesan.

“Polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengutamakan keselamatan ketika melakukan aktiviti rekreasi terutama di kawasan tasik atau sungai,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement