Masalah penguatkuasaan di sempadan menjadi isu yang dibangkitkan rakyat Malaysia susulan kejadian bot yang membawa warga Rohingya tidak dibenarkan memasuki perairan Malaysia.

Selepas beberapa kali pintu masuk negara mudah dimasuki melalui jalan laut, rakyat mempersoalkan sejauh mana penguatkuasaan dilaksanakan di perairan negara.

Sudah diketahui umum bahawa perairan sekitar Langkawi merupakan antara akses yang disifatkan paling mudah untuk ke negara jiran.

Seorang aktivis Rohingya yang mahu dikenali sebagai Jasmin, mendakwa terdapat banyak lokasi menjadi laluan utama untuk ke negara jiran melalui Langkawi.

"Salah satu daripadanya di kawasan Ayer Hangat dan Tanjung Rhu sebab daripada situ ke jeti di Siam hanya 30 minit perjalanan.

"Memang selalu orang sini nak pi beli jersi ka, nak main bola pon depa (mereka) lalu kot situ" katanya kepada Astro AWANI.

sg kisap
Laluan di Sg Kisap dikatakan antara yang sering digunakan warga asing untuk memasuki Langkawi (Gambar: Astro AWANI)

Tambah Jasmin, penduduk tempatan masih boleh melepasi sempadan dengan menggunakan bot yang disediakan di kawasan Tanjung Rhu dan Ayer Hangat biarpun tidak memiliki passport atau dokumen berkaitan.

"Kalau tiada passport, biasanya depa (mereka) akan buat surat, 'border pass' la rasanya.

"Biasanya depa (mereka) boleh ja lalu kot situ sebab penguatkuasaan kat situ tak 'strict' (tegas) sangat.

"Akak ada seorang anak saudara, dia orang Myanmar berkahwin dengan kawan abang ipar saya, dia tiada passport ataupun surat beranak. Dia boleh ja pi kenduri keluarga kat Satun siap balik sini dah. Takda apa pon " jelas Jasmin.

Bagi Jasmin, isu rakyat tempatan keluar masuk ke negara jiran atau warga asing memasuki negara ini biarpun tidak mempunyai passport merupakan perkara biasa di pulau yang terkenal dengan lagenda Mahsuri itu.

sg kisap 2
Bot yang dikatakan membawa warag asing tanpa dokumen perjalanan yang sah memasuki Langkawi (Gambar:Astro AWANI)

Justeru, dia berpendapat, penguatkuasaan perlu diperkukuh dalam memastikan tiada sebarang ancaman lain di masa hadapan.

Jasmin juga tidak menolak kemungkinan aktiviti jenayah yang berlaku di Langkawi juga bertitik tolak daripada penguatkuasaan yang kurang berkesan di lokasi terbabit.

Antara lokasi yang didakwa mudah untuk dibolosi warga asing ialah Tanjung Rhu, Sungai Kilim, Pantai Teluk Yu, Sungai Kubang Badak dan beberapa lokasi lain di Mukim Ayer Hangat.