Dua lelaki masing-masing warga Bangladesh dan Myanmar meninggal dunia hari ini ketika dirawat di Hopital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, disyaki kerana keracunan metanol.

Kedua-dua mangsa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HRPB pada 28 April lalu setelah mengalami gejala kabur penglihatan, loya, muntah, sakit perut dan kurang sedar selepas minum minuman beralkohol.

Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, kedua-dua kes dilaporkan berada di dalam keadaan kritikal semasa dimasukkan ke hospital dan meninggal dunia awal pagi ini.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, sampel klinikal daripada kedua-dua kes telah dihantar ke makmal untuk pengesanan metanol tetapi keputusannya belum diterima.

Tambahnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian itu dan survelan minuman beralkohol di pasaran juga akan dipertingkatkan.

Dr Ding menasihatkan orang ramai agar mengelak daripada pengambilan minuman beralkohol tiruan.

“Keracunan metanol boleh menyebabkan gejala sakit perut, sesak nafas, kabur penglihatan, loya, muntah, pening atau sakit kepala yang teruk dan kekejangan kaki,” ujarnya.

Beliau menasihatkan mana-mana individu yang mengalami gejala tersebut selepas mengambil minuman beralkohol supaya mendapatkan rawatan segera di hospital terdekat.