KUALA LUMPUR: Seorang warga emas berumur 81 tahun berjaya membawa pulang ganjaran RM1 juta melalui Cabutan Istimewa Bank Simpanan Nasional (BSN) Sijil Simpanan Premium (SSP) bagi bulan Februari 2021.

Ketua Eksekutif BSN Jay Khairil berkata, ini merupakan kali kedua bapa kepada sembilan orang anak itu membawa pulang hadiah daripada cabutan SSP kerana sebelum ini beliau pernah membawa pulang hadiah pertama sebuah kereta BMW 318i melalui cabutan bulanan pada bulan Mei 2018.

"Sehingga hari ini, beliau masih setia menyimpan dengan BSN SSP walaupun telah memenangi ganjaran menarik termasuklah cabutan istimewa BSN SSP RM1 juta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebagai bank komuniti, BSN akan terus mendukung mandat kerajaan untuk menggalakkan budaya menabung dalam kalangan rakyat Malaysia.

Selain berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik, orang ramai juga dapat menikmati kadar keuntungan sehingga 1.9 peratus setahun dengan menyimpan di BSN SSP Edisi Khas yang mana ia adalah sama dengan kadar tetap di bank lain.

Buat kali pertama pada tahun ini, BSN turut mengumumkan seramai 13 orang pemenang bagi Cabutan Tempatan yang membawa pulang sebuah kereta Perodua Myvi 1.5 Auto.

Cabutan ini diadakan pada bulan Februari, Mei dan Ogos 2021 serta terbuka kepada penyimpan yang mempunyai BSN SSP dengan simpanan minimum RM100.

-- BERNAMA