BALING: Mayat seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang ditemukan lemas di Kampung Kuala Cenerai, Sungai Ketil, di sini hari ini.

Mayat Abd Aziz Md Lazim, 72, ditemui terapung oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPD) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani yang melakukan pencarian mangsa pada jam 12 tengah hari.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Mohd Jamil Mat Daud berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira 100 meter dari tempat dia disyaki terjatuh iaitu kira-kira 50 meter dari rumahnya di Kampung Kuala Cenerai, Kuala Pegang.

“Sebaik menerima laporan daripada anak mangsa petang Sabtu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan dengan bantuan dua anjing pengesan (K9) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta seekor anjing K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Setelah gagal menemui mangsa semalam, operasi disambung semula jam 8 pagi tadi membabitkan anggota BBP Baling, PDRM, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Baling serta penduduk kampung.

"Kita turut menggunakan bot untuk mencari mangsa di kawasan sungai berkenaan sebelum mangsa akhirnya ditemui tengah hari tadi.

"Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, dalam kejadian semalam, mangsa disedari hilang oleh anaknya selepas mendapati dia tiada dalam bilik tidur di rumah mereka pada jam 8.50 pagi.

Beliau berkata, berikutan itu, anaknya bersama ahli keluarga yang lain termasuk isteri mangsa keluar mencari warga emas terbabit di sekitar kampung tetapi tidak menemuinya sebelum membuat laporan polis.

"Berdasarkan maklumat daripada anaknya, warga emas itu menghidap penyakit angin ahmar ringan dan mengalami masalah ingatan.

"Berikutan itu, anak perempuan mangsa membuat laporan polis berhubung kehilangan bapanya," katanya.

Shamsudin berkata, operasi pencarian turut dilakukan di sekitar sungai berkenaan selepas anak mangsa memaklumkan menemui bekas tapak kaki di tebing sungai yang terletak kira-kira 50 meter di belakang rumah mereka.