ALOR GAJAH: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara menyaksikan saingan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, 14 November ini.
Ketua Menteri Melaka yang juga penyandang kerusi berkenaan, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dicabar calon PH, Mohd Yunazri Mustamiri.
Pengesahan calon bagi kerusi N02 Tanjung Bidara itu dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Saifuddin Abdul Karim, selepas proses penamaan calon selesai, hari ini.
Terdahulu, Ab Rauf yang juga Pengerusi BN Melaka menyerahkan kertas penamaan calon di Pusat Penamaan Calon (PPC) Dewan Datuk Kapt (B) Hj Ab Karim sekitar jam 9.03 pagi.
Sementara itu, Mohd Yunazri yang merupakan calon muda berusia 36 tahun mengemukakan borang pencalonan pada jam 9.08 pagi.
Pada PRN Melaka 2021, Ab Rauf memenangi kerusi DUN Tanjung Bidara dalam pertandingan tiga penjuru dengan majoriti sekitar 364 undi.
Bagi PRN Melaka ke-16, DUN Tanjung Bidara mempunyai seramai 15,003 pengundi berdaftar.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon, manakala hari pengundian ditetapkan pada 14 November ini.