Seorang wanita warga emas maut selepas dihempap rak besi kosong setinggi 1.5 meter di sebuah bengkel kereta di Taman Desa Impian, dekat Kulim, Kedah pada Ahad.

Mangsa, Cheng Lean, 82, tidak sedarkan diri sebaik kejadian berlaku.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam menemui seorang wanita terbaring di kawasan bengkel motosikal pada pukul 11.26 pagi.

Sejurus kemudian, sepasukan anggotanya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurut beliau, setiba anggota bomba di lokasi kejadian, didapati terdapat seorang wanita warga emas dihempap sebuah rak besi kosong setinggi 1.5 meter di tepi bengkel.

Pasukan perubatan yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mayat mangsa kemudiannya di hantar ke Hospital Kulim untuk proses bedah siasat.