Skip to main content
Advertisement

Politik

Pentadbiran Negeri Sembilan terus berjalan, MB ada formula gerakkan jentera kerajaan - Jalaluddin

[TB]_UMNO WTCKL_ASTRO AWANI
Jalaluddin ketika ditemui media selepas pertemuan bersama 25 ADUN BN Negeri Sembilan di WTCKL pada Ahad. - Gambar Astro AWANI.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan akan terus berjalan seperti biasa meskipun berlaku kekosongan jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), dengan keutamaan diberikan kepada kepentingan serta kebajikan rakyat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata pelbagai kaedah boleh digunakan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan dan pelaksanaan dasar kepada rakyat tidak terjejas.

Beliau menjelaskan, hasil perbincangan yang diadakan sebelum ini dijangka menghasilkan satu pendekatan terbaik bagi membolehkan pentadbiran negeri terus berfungsi dengan lancar.

“Daripada perbincangan panjang lebar itu, insya-Allah akan ada satu pendekatan supaya kerajaan negeri dapat berjalan seperti biasa. Itu yang lebih penting,” katanya.

Mengulas persoalan mengenai ketiadaan Exco dalam pentadbiran negeri, Jalaluddin berkata Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, mempunyai formula tersendiri untuk memastikan jentera kerajaan terus bergerak.

"Segala agenda dan program yang berkaitan dengan rakyat akan terus dilaksanakan tanpa gangguan.

“Pelbagai kaedah boleh digunakan. Menteri Besar ada formula tertentu untuk menggerakkan jentera kerajaan supaya agenda bagi meneruskan program-program yang berkaitan dengan rakyat dapat dilaksanakan,” ujarnya.

Beliau menegaskan, fokus utama ketika ini adalah memastikan pentadbiran negeri kekal stabil dan semua urusan melibatkan rakyat dapat diteruskan dengan berkesan.

Barisan Nasional (BN) pada Ahad malam mengadakan pertemuan bersama 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bagi membincangkan perkembangan semasa serta langkah penyelesaian berhubung situasi politik di Negeri Sembilan.

Perkembangan itu susulan pembatalan pelantikan 10 Exco Negeri Sembilan yang menyaksikan usaha sedang dilakukan bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri terus beroperasi tanpa menjejaskan kepentingan rakyat.

Must Watch Video

Advertisement