KUALA LUMPUR: Selaku rakan gabungan dalam gerakan 'gelombang biru', Pas perlu bersedia untuk menerima sekiranya Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertegas untuk menjadi Perdana Menteri pasca Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Pahang, Kampus Raub, Muhammad Ariff Asyrul Adnan berkata, bagi Pas, menerima Ahmad Zahid bukan semata-mata soal menerima seorang individu daripada UMNO.
Sebaliknya, jelas beliau, ia merupakan keputusan mengenai sejauh mana parti bersedia menukar tuntutan kepimpinan berdasarkan kekuatan elektoral kepada kompromi bagi membentuk kerajaan.
Bagi UMNO ujarnya, mengemukakan Ahmad Zahid sebagai calon PM juga memerlukan kemampuan mendapatkan kepercayaan bukan sahaja daripada Pas dan Perikatan Nasional (PN) tetapi juga parti-parti komponen lain yang diperlukan untuk mencapai majoriti.
“Oleh itu, ‘Ahmad Zahid sebagai PM’ lebih wajar dilihat sebagai salah satu senario pasca-PRU16 daripada sebuah kesimpulan politik.
“Persoalan sebenar ialah sama ada BN–PN mampu membina formula pembahagian kuasa yang cukup kukuh sehingga Pas, UMNO, parti Sabah dan Sarawak serta komponen lain yang diperlukan bersedia menyokong seorang calon yang sama.
“Kunci utama adalah soal sejauh mana konsensus permuafakafatan BN-PN berjaya dicapai yang menentukan situasi tersebut berjaya dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bekas pemimpin DAP, Ong Kian Ming sebelum ini meramalkan Ahmad Zahid akan menjadi Perdana Menteri jika BN dan PN membentuk pakatan serta memenangi PRU16.
Kian Ming berkata, Pas mungkin memenangi lebih banyak kerusi berbanding BN, tetapi beliau menjangkakan Ahmad Zahid akan mendapat sokongan parti dari Sabah dan Sarawak untuk jawatan tertinggi itu.
Mengulas lanjut, Muhammad Ariff menegaskan, cadangan supaya Pas bersedia menerima Ahmad Zahid sebagai calon Perdana Menteri selepas PRU16 bukanlah sesuatu yang mustahil dari sudut perkembangan kompleks politik Malaysia hari ini.
Namun, katanya, ia terlalu awal untuk dianggap sebagai satu perkara yang pasti kerana kuncinya bukan siapa memperoleh kerusi terbanyak, tetapi siapa yang mampu membina majoriti Dewan Rakyat selepas keputusan pilihan raya.
“BN perlu juga membuktikan kekuatan dan kerelevenan mereka khususnya pasca PRN Johor, Negeri Sembilan dan terkini, Melaka yang bakal tiba.
“Jika BN dan PN benar-benar membentuk kerjasama yang komprehensif bukan hanya semata-mata 'electoral pact', persoalan calon Perdana Menteri akan menjadi salah satu rundingan paling sensitif kerana kekuatan Pas mungkin bertembung dengan tuntutan kepimpinan UMNO,” jelasnya.
Pada masa sama, ujarnya, sokongan Sabah dan Sarawak boleh menjadi faktor penting sekiranya tiada blok memperoleh majoriti yang jelas.