LAHAD DATU: Seorang wanita warga emas maut apabila kenderaan yang dipandunya merempuh pagar rumah dan sebuah kereta lain pada petang Ahad.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad dalam satu kenyataan media berkata, wanita berusia 70 tahun itu telah gagal mengawal kenderaan sehingga berlaku kemalangan.

Menurut beliau, mayat mangsa dibawa oleh sepasukan polis ke Hospital Lahad Datu untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Katanya sampel darah pemandu juga telah diambil untuk dianalisis dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis juga memanggil saksi sekiranya ada untuk memberi maklumat dan boleh hubungi Inspektor Mohamad Humaidi di talian 089-881255.