IPOH: Seorang lelaki warga emas kerugian RM150,000 selepas terperdaya dengan penipuan pelaburan yang menggunakan nama syarikat sukan terkenal dari hujung September tahun lepas.
Ketua Polis Daerah Kampar Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata pesara berusia 67 tahun itu menekan pautan berkaitan pelaburan yang ditawarkan melalui sebuah laman media sosial sebelum dimasukkan ke kumpulan Telegram.
“Mangsa tertarik dengan iklan pelaburan itu kerana menjanjikan pulangan lumayan setiap bulan dan membuat transaksi wang ke akaun bank peribadi diberikan suspek berjumlah RM130,000 dari September 2025 hingga Jun lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Nazri berkata mangsa ingin mengeluarkan modal dan keuntungan pelaburan pada awal bulan ini, namun suspek mengarahkannya untuk membuat beberapa transaksi bayaran sehingga RM20,000.
Mangsa mula curiga apabila suspek masih meminta bayaran tambahan sedangkan dia belum menerima keuntungan yang dijanjikan.
Lelaki itu membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA