Skip to main content

Malaysia

Warga kerja CBP perlu berani tolak rasuah, salah guna kuasa - Baharom

CBP memperkukuh komitmennya dalam membudayakan integriti dan memerangi rasuah menerusi Sambutan HARI CBP 2026 yang berlangsung pada di Dewan Dato’ Yusoff Hilmi, Wisma Co-opbank Pertama. - Gambar CBP
CBP memperkukuh komitmennya dalam membudayakan integriti dan memerangi rasuah menerusi Sambutan HARI CBP 2026 yang berlangsung pada di Dewan Dato’ Yusoff Hilmi, Wisma Co-opbank Pertama. - Gambar CBP

Advertisement

KUALA LUMPUR: Penghayatan integriti bermula daripada perkara asas, termasuk membuat keputusan secara bertanggungjawab, menguruskan maklumat dan aset organisasi dengan baik serta menangani konflik kepentingan secara sewajarnya.

Pengerusi Co-opbank Pertama (CBP), Datuk Baharom Embi berkata, setiap warga kerja CBP perlu mempunyai keberanian untuk menolak rasuah, salah guna kuasa, penipuan, manipulasi serta sebarang bentuk penyalahgunaan aset dan maklumat organisasi.

“Budaya integriti juga menuntut setiap warga kerja agar tidak berdiam diri apabila berhadapan dengan perkara yang tidak wajar, sebaliknya mengambil tindakan yang sewajarnya bagi mengelakkan masalah yang lebih besar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

CBP terus memperkukuh komitmennya dalam membudayakan integriti dan memerangi rasuah menerusi Sambutan Hari Antirasuah dan Integriti (HARI) CBP 2026 yang berlangsung pada di Dewan Dato’ Yusoff Hilmi, Wisma Co-opbank Pertama.

Program itu menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran serta memperkukuh penghayatan nilai amanah, integriti dan etika dalam kalangan warga kerja CBP.

Turut diadakan forum bertemakan “Intergriti Korporat : Antara Tekanan Prestasi dan Prinsip” di mana panel jemputan merupakan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib dan Timbalan Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Mohamad Zaki Abu Hasan.

Dalam pada itu kata Baharom, sebagai sebuah institusi kewangan, CBP memikul amanah besar dalam menjaga kepercayaan anggota dan pelanggan dimana setiap urusan perlu dilaksanakan dengan jujur, telus, profesional dan beretika bagi memastikan kepercayaan yang diberikan terus terpelihara.

Beliau turut menekankan bahawa pembudayaan integriti perlu bermula daripada kepimpinan melalui teladan dan tindakan yang konsisten.

"Setiap keputusan hendaklah dibuat secara bertanggungjawab, telus serta berlandaskan kepentingan organisasi dan pihak berkepentingan.

“Saya berharap agar HARI CBP 2026 dapat menyemarakkan kesedaran, memperkukuh komitmen dan menyatukan seluruh warga kerja dalam usaha membina budaya kerja yang lebih berintegriti,” jelasnya.

Must Watch Video

Advertisement