KUALA LUMPUR:Lelaki warga Malaysia yang sedang dirawat di di St. Vincent's Public Hospital, Sydney, Australia menafikan laporan media yang menyebut beliau terlantar kesunyian tanpa sebarang pelawat di hospital itu. 

Khaidir Abu Jalil menegaskan, laporan mengenainya itu adalah tidak tepat memandangkan dia sentiasa berhubung dengan ahli keluarga di Malaysia.

Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan berkata, perkara itu dimaklumkan Pegawai Konsulat Malaysia di Sydney yang menziarahi Khaidir. 

BACA: Warga Malaysia sendirian enam bulan terlantar sakit di hospital Australia

Malah, warga Malaysia itu dilaporkan semakin pulih dan akan dibenarkan keluar dari hospital dalam masa terdekat.

Beliau  mengakui tidak memaklumkan keadaannya kepada Suruhunjaya Tinggi Malaysia di Canberra atau Konsulat Malaysia di Sydney.

Bagaimanapun, beliau berterima kasih di atas sokongan serta bantuan yang telah diberikan oleh semua pihak.

"Encik Khaidir telah memohon supaya diberikan ruang untuk menjalani proses pemulihan dengan tenang dan tanpa gangguan daripada pihak media buat masa ini," ujar kenyataan itu. 

Kementerian Luar Negeri juga prihatin akan keadaan warganegara Malaysia di luar negara dan menasihatkan supaya berhubung dengan Perwakilan Malaysia yang terdekat sekiranya
berlaku sebarang kecemasan dan memerlukan bantuan konsular.