KUALA LUMPUR:Rakyat Malaysia harus berwaspada terhadap manipulasi sentimen kaum oleh ahli-ahli politik, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bercakap pada majlis pelancaran secara maya Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2021-2030 hari ini, perdana menteri berkata ia merupakan cabaran utama dalam hampir semua negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum.

"Pelaku politik yang cuba menaikkan saham politik masing-masing melalui eksploitasi perasaan kaum hendaklah kita elakkan," katanya pada majlis yang disiarkan di laman Facebook Kementerian Perpaduan Negara.

Beliau berkata kerajaan sedar, rakyat Malaysia tidak akan sekali-kali mengorbankan kesepaduan sosial dan perpaduan negara yang telah dikecapi selama ini demi matlamat peribadi.

"Kerajaan juga tidak akan sekali-kali berkompromi dalam perkara yang boleh mengganggu-gugat perpaduan negara. Berpegang kepada prinsip inilah Kementerian Perpaduan Negara telah diwujudkan bagi menggalas tugas berat memastikan agenda perpaduan nasional dijayakan," katanya.

Muhyiddin dalam ucapan kira-kira 30 minit itu berkata rakyat Malaysia khususnya petugas barisan hadapan telah membuktikan sifat empati terhadap satu sama lain tanpa mengira kaum atau agama sewaktu negara berdepan dengan krisis COVID-19.

Menurutnya, sifat empati ini harus diperkukuhkan dalam masyarakat sekali gus membantu usaha mengatasi cabaran perkauman dengan lebih berkesan.

"Dalam tempoh negara berdepan wabak COVID-19 ini, saya sedar bahawa ramai dalam kalangan kita juga telah menunjukkan sifat empati sesama kita.

"Kita perlu terus menyuburkan sifat empati ini dalam usaha kita hendak memahami isi-isu kaum dari perspektif yang lebih seimbang dan menyeluruh. Seperti beberapa negara-negara berbilang kaum yang lain, kadangkala kita hanya melihat isu kaum dari sudut kaum atau kumpulan tertentu," katanya.

Perdana menteri percaya perspektif ini perlu diperbaiki supaya menjadi lebih seimbang dan holistik dan harus dipupuk melalui sistem pendidikan dan media. 

Perdana Menteri berkata semangat perpaduan yang ditunjukkan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama sewaktu negara masih berdepan dengan gelombang COVID-19, sekali gus membantu kerajaan menyebarkan mesej positif, menyokong usaha Perintah Kawalan Pergerakan dan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Ternyata rakyat Malaysia berjiwa patriotik kerana kita bersatu hati berjuang memerangi musuh yang tidak kelihatan. Kita patriotik kerana kita inginkan keharmonian dan idamkan perpaduan dalam negara yang kita cintai ini.

"Tahniah rakyat Malaysia atas perpaduan ini! Jika semangat perpaduan dan saling bantu-membantu ini kita teruskan, saya yakin kita akan berjaya mengatasi apa sahaja cabaran yang menduga kita pada masa-masa akan datang, Insya-Allah," katanya.

Muhyiddin turut menekankan bahawa usaha mencapai perpaduan merupakan suatu perjalanan yang jauh dan berliku.

Justeru itu, katanya semua pihak mesti sentiasa membetulkan niat dan memperkasa usaha bersama untuk memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang kukuh teras perpaduannya, bukan sahaja untuk generasi masa kini, tetapi demi masa depan anak cucu kita kelak.

Beliau berkata imej Malaysia sebagai sebuah negara berbilang etnik, agama dan budaya sering dijadikan contoh dan rujukan sebagai sebuah negara yang bersatu-padu.

"Walaupun adakalanya wujud perbezaan, persaingan dan konflik, tetapi kesepaduan sosial yang telah wujud sekian lama dalam masyarakat telah mengekalkan perpaduan kita sehingga ke hari ini, menjadikan negara-negara lain ingin belajar daripada kita," tambahnya.

-- BERNAMA