JEDDAH: Orang ramai diingatkan supaya berwaspada terhadap penipuan melibatkan tawaran badal haji, khususnya pakej yang ditawarkan pada harga terlalu murah dan tidak munasabah.
Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir berkata, tawaran sedemikian perlu diteliti kerana dikhuatiri tidak memenuhi rukun dan syarat sah ibadah haji.
Advertisement
“Jika tawaran itu terlalu murah, kita bimbang ada perkara yang tidak memenuhi rukun ataupun wajib haji tersebut,” katanya ketika ditemui di Terminal Haji Lapangan Terbang King Abdul Aziz di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan, kos minimum pakej haji domestik di Arab Saudi sendiri dianggarkan sekitar RM9,000 hingga RM10,000, sekali gus menjadikan tawaran di bawah kadar tersebut sebagai tidak logik.
“Ini adalah kos paling rendah yang ditawarkan di Arab Saudi sendiri. Jadi sekiranya ada tawaran lebih murah daripada itu, ia perlu disemak dengan lebih teliti,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan setakat ini tiada laporan melibatkan rakyat Malaysia berhubung penggunaan visa palsu bagi menunaikan ibadah haji.
“Setakat ini kita belum terima sebarang laporan yang melibatkan rakyat Malaysia berkaitan visa palsu,” katanya.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Arab Saudi kini memperketat penguatkuasaan bagi memastikan hanya jemaah yang mempunyai permit sah dibenarkan berada di Kota Mekah.
“Mereka bukan sahaja melakukan pemeriksaan di checkpoint, tetapi juga ke hotel dan rumah bagi memastikan setiap individu mempunyai permit sah,” katanya.
Menurut beliau, individu yang didapati tidak mempunyai permit haji sah boleh dikenakan tindakan termasuk diarahkan keluar dari Mekah.
Pelaksanaan sistem permit haji (Nusuk) oleh kerajaan Arab Saudi juga membantu melancarkan pergerakan jemaah, apabila setiap permit disahkan lebih awal sebelum melalui sebarang pemeriksaan.
Sehubungan itu, rakyat Malaysia dinasihatkan supaya sentiasa menggunakan saluran rasmi dalam urusan haji serta membuat semakan teliti terhadap sebarang tawaran, khususnya melibatkan badal haji, bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.