Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Datuk Wee Ka Siong memohon gaji dan pendapatan rakyat diselaraskan dengan langkah-langkah rasionalisasi subsidi kerajaan.

Menurut beliau, ketidakselarasan ini telah menyebabkan rakyat terbeban dengan kenaikan kos selain kesan sampingan yang membebankan golongan berpendapatan rendah.

"Kerajaan perlu menjaga kepentingan rakyat dan peniaga-peniaga terutama mengkaji kesan daripada pelaksanaan GST sebanyak enam peratus disamping memberi penjelasan yang secukupnya kepada rakyat dan memperluaskan kategori barangan yang dikecualikan GST," katanya semasa berucap di Perhimpunan Agung Pemuda MCA ke-49 hari ini.

Beliau turut menyeru kepada kerajaan agar menyemak semula kadar GST serta memberi pertimbangan untuk menurunkannya kepada empat peratus.

Ini kerana menurutnya semasa kali pertama rang undang-undang mengenai GST dibentangkan di Dewan Rakyat beberapa tahun yang lalu, cadangan asal bagi peratusan GST hanyalah sebanyak empat peratus.

"Tarif elektrik akan meningkat sebanyak 15 peratus pada tahun 2014 dan TNB telah mengumumkan bil elektrik yang melebihi RM43.60 akan dikenakan GST sebanyak enam peratus. GST akan memberi kesan secara langsung kepada bil elektrik," tambahnya.

Sementara itu, dalam ucapan yang sama beliau mengingatkan kepimpinan UMNO agar berhati-hati dalam ucapan dan pemikiran mereka supaya ianya tidak menuju ke arah ekstremisme.

"Kalau mereka tidak berpuas hati dengan pengundi Cina yang tidak menyokong BN dalam PRU-13 lalu mengenepikan perjuangan untuk semua kaum dan menumpukan perjuangan untuk satu kaum sahaja, saya pasti keadaan ini boleh menyebabkan undi-undi kaum Cina tidak akan kembali kepada BN.

"Kerajaan yang ingin memenangi hati rakyat harus memastikan rakyat didahulukan, bukan menggubal dasar berdasarkan kepentingan satu kaum atau menghukum satu kaum secara sengaja atau tidak terutama terhadap kaum Cina.

"Saya ingin memberitahu mereka, kaum Cina tidak akan menerima hukuman seperti ini tanpa tentangan dan MCA juga tidak akan berdiam diri," tegas Wee.

Dalam pada itu beliau turut menyeru agar pihak kerajaan membantu golongan belia dalam menceburi bidang ekonomi selain menyediakan platform bagi mengembangkan bakat mereka dengan menyediakan ruang serta peluang yang mencukupi.

"Cara yang betul untuk membantu belia ialah menyediakan ruang yang mencukupi untuk belia menonjolkan bakat dan kreativiti mereka. Setiap tahun kerajaan memberi bantuan kewangan kepada stesen televisyen RTM, kenapa tidak boleh mengagihkan masa yang tertentu untuk mereka menonjolkan bakat?

"Saya merasakan Pemuda MCA dan kerajaan patut berganding bahu menyediakan lebih banyak platform untuk belia memulakan perniagaan mereka, contohnya mengadakan pameran kerjaya dan memberi lebih banyak pilihan pekerjaan kepada belia," tambah beliau.