Kerajaan DAP Pulau Pinang diminta meneliti semula inisiatif perkhidmatan jalur lebar wi-fi secara percuma kerana dikatakan tidak membawa manfaat khususnya kepada penduduk di kawasan yang diwakili Barisan Nasional (BN).

Shariful Azhar Othman (BN-Bertam) berkata perkhidmatan wi-fi percuma merupakan satu inisiatif yang baik tetapi ia tidak dilaksana secara terancang untuk memberi manfaat kepada semua penduduk di negeri ini.

Beliau berkata terdapat 1,560 hotspot wi-fi di seluruh negeri tetapi hanya 10 hotspot di kawasan Bertam, Kepala Batas dan ia diletakkan di lokasi yang tidak strategik serta bukan di tempat-tempat tumpuan penduduk berkumpul.

"Perkhidmatan wi-fi ini sepatutnya diletakkan di kawasan tumpuan penduduk seperti hospital, perpustakaan awam, taman-taman rekreasi dan dewan orang ramai, bukannya diletakkan secara suka hati sahaja.

"Mana ada (orang letak) hotspot untuk wi-fi percuma di kedai kasut, kedai cermin mata, kedai elektrik dan kedai basikal," katanya ketika membahaskan Bajet 2017 Pulau Pinang pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata perkhidmatan wi-fi percuma sepatutnya memberi manfaat kepada rakyat dan bukan hanya tertumpu kepada golongan tertentu.

"Adakah pemilihan hotspot wi-fi percuma ini dibuat atas suka-suka dan bukan secara terancang," katanya.

Menyuarakan nada yang sama, Dr Norlela Ariffin (PKR-Penanti) ketika mencelah perbahasan itu berkata beliau tidak mengetahui di mana letaknya hotspot wi-fi percuma di kawasannya.

"Saya ingin meminta kerajaan negeri supaya cuba letakkan hotspot ini di tempat-tempat yang bersesuaian supaya semua lapisan masyarakat dapat menikmatinya," katanya.

Selain Bertam, Shariful Azhar berkata masalah yang sama turut dialami di kawasan-kawasan BN lain seperti Penaga dan Pinang Tunggal apabila hotspot untuk perkhidmatan wi-fi percuma itu dipasang di lokasi-lokasi yang tidak strategik.

"Kerajaan negeri harus mengeluarkan senarai kawasan-kawasan yang mempunyai perkhidmatan wi-fi percuma untuk pengetahuan rakyat supaya semua lapisan masyarakat dapat menikmati perkhidmatan ini," katanya. - BERNAMA