Skip to main content

Malaysia

Wisma Putra pantau rapat insiden letupan di Narathiwat, tiada rakyat Malaysia terkorban

TB_LETUPAN BOM RAKYAT MALAYSIA YALA THAILAND_Yala Provincial Public Relations Office
Kenderaan berpendaftaran Malaysia terkena impak alat letupan buatan sendiri (IED) yang dipasang di bawah pembetung jalan di Wilayah Narathiwat, Thailand, pada pagi Isnin. - Gambar Facebook: Yala Provincial PR Office
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar Negeri (KLN) mengesahkan tiada kemalangan jiwa membabitkan warganegara Malaysia dalam insiden peranti letupan buatan sendiri (IED) di Wilayah Narathiwat, Thailand, yang berlaku kira-kira jam 11.45 pagi waktu tempatan, pada Isnin.

KLN dalam satu kenyataan memaklumkan, melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, pihaknya sedang memantau rapi perkembangan susulan kejadian berkenaan.

Menurut kementerian itu, laporan awal menunjukkan sebuah kenderaan milik warganegara Malaysia turut terjejas dalam letupan tersebut.

“Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla sedang berhubung secara aktif dengan pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan maklumat sahih lanjut serta menyalurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada pihak yang terjejas,” menurut kenyataan itu.  

Sehubungan itu, KLN menasihatkan rakyat Malaysia yang menetap atau melakukan perjalanan ke wilayah-wilayah selatan Thailand supaya sentiasa berwaspada, mengutamakan keselamatan diri serta mematuhi sepenuhnya arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Kementerian turut menggesa warganegara Malaysia mendaftar dan sentiasa mengemas kini maklumat perhubungan mereka melalui portal e-Konsular bagi memudahkan komunikasi serta penyaluran bantuan konsular sekiranya diperlukan.  

Menurut KLN, rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular segera atau berdepan situasi kecemasan boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla menerusi saluran rasmi yang disediakan.

“Kementerian Luar Negeri akan terus memantau perkembangan situasi ini secara dekat dan akan menyalurkan maklumat lanjut dari semasa ke semasa seiring perkembangan keadaan serta selepas fakta rasmi disahkan,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement