PUTRAJAYA: Kementerian Luar merakamkan ucapan takziah kepada keluarga rakyat Malaysia Nagaentran Dharmalingam yang menjalani hukuman mati awal pagi tadi di Penjara Changi, Singapura.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura akan terus menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada keluarga mendiang.

Menurut kenyataan itu, kerajaan telah berusaha sejak dahulu lagi untuk membantu Nagaentran. 

'
Permudahkan proses bawa balik jasad Nagaenthran' - Peguam

Kerajaan melalui Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah minggu ini sekali lagi mengutuskan surat kepada rakan sejawat masing-masing di Singapura sebagai usaha bagi memohon kerajaan negara itu menimbang dan meringankan hukuman berkenaan.

"Surat itu turut menyatakan keterbukaan kerajaan Malaysia untuk berbincang dengan kerajaan Singapura bagi melaksanakan Program Pemindahan Banduan Antarabangsa di antara Malaysia - Singapura," katanya.

BACA: Nagaenthran jalani hukuman gantung: Ini apa yang perlu diketahui

Selain itu, surat pertama kepada kerajaan Singapura dihantar oleh Perdana Menteri dan Menteri Luar pada November 2021.

Pada Disember 2021, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga mengutuskan warkah kepada Presiden Republik Singapura bagi meringankan hukuman ke atas Nagaenthran.

"Kerajaan Malaysia merakamkan penghargaan di atas maklum balas yang dikemukakan oleh kerajaan Singapura dan menghormati sistem perundangan negara itu.

"Dalam masa yang sama, Kerajaan Malaysia juga merakamkan penghargaan kepada kerajaan Singapura atas bantuan yang telah diberikan sepanjang tempoh tahanan dan perbicaraan Nagaenthran," katanya.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura juga menjalankan tanggungjawab sewajarnya dalam memberikan bantuan konsular kepada Nagaenthran sepanjang berada dalam tahanan bagi memastikan hak dan kebajikannya sentiasa terpelihara.

Wisma Putra turut merakamkan penghargaan kepada pertubuhan dan organisasi bukan kerajaan yang turut berusaha supaya pelaksanaan hukuman mati ke atas Nagaenthran dapat dikurangkan, selain inisiatif untuk memansuhkan hukuman mati.

Berasal dari Perak, Nagaenthran, 34, dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana mengedar 42.72g heroin pada 2009 ke Singapura, yang diketahui antara negara yang mempunyai undang-undang narkotik paling tegas di dunia.

Dia sepatutnya menjalani hukuman pada 10 Nov 2021, tetapi memperoleh penangguhan sementara pada 9 Nov selepas mahkamah diberitahu dia positif COVID-19 ketika hadir untuk rayuan terakhir terhadap hukuman matinya.

-- BERNAMA