Skip to main content

Malaysia

Worldskills Shanghai 2026: Zahid janji hadiah umrah jika kontinjen TVET raih emas

KUALA LUMPUR, 13 Julai -- Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyaksikan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang mengibarkan Jalur Gemilang pada Majlis Amanat Bersama Kontinjen TVET@KKDW Ke Worldskills Shanghai 2026 di sebuah hotel hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ahmad Zahid menyaksikan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang mengibarkan Jalur Gemilang pada Majlis Amanat Bersama Kontinjen TVET@KKDW Ke Worldskills Shanghai 2026 di sebuah hotel hari ini. - Gambar/ Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Peserta TVET@KKDW yang berjaya memenangi pingat emas pada WorldSkills Shanghai 2026 bakal menerima hadiah pakej umrah bersama ibu bapa masing-masing.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ganjaran itu diharap menjadi pembakar semangat kepada peserta terbabit.

"Ini janji saya jika dapat pingat emas. Saya hadiahkan untuk pergi umrah. Ibu dan bapa peserta juga akan dibawa bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama di Majlis Amanat Bersama Kontinjen TVET@KKDW Ke Worldskills Shanghai 2026 di sini hari ini.

Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata kos membawa peserta dan ibu bapa mereka menunaikan umrah itu tidak menggunakan peruntukan kerajaan.

"Bukan duit KKDW. Bukan duit Majlis Amanah Rakyat (MARA). Bukan duit yang kita ambil daripada peruntukan rakyat. Duit yang halal. 

“Tak boleh rasuah. Walaupun (pernah berdepan) dengan 87 pertuduhan, saya cari duit untuk bawa anda pergi umrah," katanya yang diselitkan dengan seloroh.

Kontinjen TVET@KKDW ke WorldSkills Shanghai 2026 diwakili sembilan peserta yang akan bertanding dalam sembilan bidang kemahiran.

Mereka ialah Nadratulliyana Ab Malek (Teknologi Fesyen), Haziq Syahmi Nazri (Pengecatan Automotif), Amirul Sharif Sharifudin (Elektronik), Mohammad Ezaly Iman Ramli (Keselamatan Siber) dan Wan Hamiz Ozai Wan Hamidzi (Teknologi Kenderaan Rel).

Turut mewakili negara ialah Khairul Idham Bahari (Pembuatan Kabinet), Muhamad Nashrul Zulkifli (Pembinaan Digital), Muhammad Haziq Lailla Zamri (Pemasangan Elektrik) serta Muhammad Huzairy Mohamad Thes (Kejuruteraan Mekanikal CAD).

Must Watch Video

Advertisement