Skip to main content

Malaysia

NADMA siap siaga hampir 102,000 anggota, 40,000 aset hadapi Monsun Timur Laut

Persediaan itu turut meliputi 8,321 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara yang mampu menampung sehingga 1.9 juta mangsa banjir. - Gambar fail/Bernama
Persediaan itu turut meliputi 8,321 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara yang mampu menampung sehingga 1.9 juta mangsa banjir. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berada pada tahap kesiapsiagaan dengan hampir 102,000 anggota pelbagai jabatan dan agensi serta kira-kira 40,000 aset operasi bakal digerakkan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.

Timbalan Ketua Operasi NADMA Datuk Dr Abdul Gapar Abu Bakar berkata persediaan itu turut meliputi 8,321 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara yang mampu menampung sehingga 1.9 juta mangsa banjir.

“Aset yang disediakan merangkumi 2,450 bot, manakala lebih 3,000 terdiri daripada kenderaan pacuan empat roda dan lori selain pelbagai aset sokongan lain.

Advertisement

“Kita juga menyediakan 170,000 makanan sedia dimakan sebagai bekalan awal kepada mangsa apabila mereka tiba di PPS, selain 60,000 kit makanan yang mengandungi barangan keperluan asas untuk diberikan kepada mangsa apabila mereka pulang ke rumah masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu program Fokus 30 terbitan Bernama Radio bertajuk “Kesiapsiagaan Kerajaan Menghadapi Monsun Timur Laut 2026/2027” di sini hari ini.

Advertisement

Mengulas mengenai penyelarasan operasi di lapangan, Abdul Gapar berkata Pegawai Daerah bertanggungjawab mengambil tindakan awal ketika banjir, termasuk mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana di peringkat daerah.

Beliau berkata Pusat Kawalan Tempat Kejadian akan diketuai Ketua Polis Daerah sebagai Komander Operasi Bencana, dengan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah selaku timbalan, manakala Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pula membantu menyelaras operasi menyelamat serta pemindahan mangsa.

“Selain agensi penyelamat, NADMA juga menggerakkan ketua masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan komuniti setempat menerusi program Pengurangan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) bagi membantu operasi menyelamat serta pengurusan di PPS,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Gapar menggalakkan orang ramai memuat turun aplikasi Malaysia Disaster Information Management System (MyDIMS) yang dilancarkan NADMA pada 24 April lepas bagi mendapatkan maklumat berkaitan bencana.

Beliau berkata aplikasi itu menyediakan notifikasi apabila pengguna berada dalam lingkungan 10 kilometer dari kawasan bencana, selain menghimpunkan maklumat cuaca, perkembangan bencana dan lokasi PPS, termasuk panduan navigasi ke pusat berkenaan.

Abdul Gapar turut mengingatkan penduduk di kawasan berisiko tinggi supaya menyediakan beg kecemasan yang mengandungi dokumen penting seperti MyKad dan pasport, ubat-ubatan asas, bekalan makanan dan minuman serta pakaian bersesuaian bagi menghadapi kemungkinan banjir.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement