Kementerian Pendidikan disaran mewujudkan subjek kemahiran media sosial di sekolah sejajar dengan perkembangan pesat teknologi maklumat ketika ini.

Pegawai Khas kepada isteri Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor berkata, sudah sampai masanya kerajaan memikirkan silibus atau subjek khusus mengenai kemahiran media sosial kerana ia semakin penting.

"Kemahiran media sosial itu penting sebab itu dapat menghubungkan kita dengan masyarakat dan hari ini kemahiran itu semakin penting kerana banyak maklumat disalur melalui media sosial.

"Mungkin Kementerian Pendidikan dapat mengenalpasti satu subjek khusus agar pelajar dapat mahir menggunakan media sosial dan pada masa yang sama mahir untuk menapis berita dan maklumat yang tidak betul di media sosial.

"Kemahiran menggunakan media sosial sangat penting sebab banyak orang menggunakan media sosial pada masa kini," katanya ketika ditemui Bernama sempena majlis perasmian penutup projek "Lets Speak & Be Ready For Job 2017" di sini, pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau meminta para graduan di universiti awam mahupun swasta menguasai bahasa Inggeris dengan baik bagi memudahkan mereka diterima di pasaran pekerjaan yang kian mencabar.

"Kelemahan utama graduan hari ini ialah penguasaan Bahasa Inggeris yang lemah, mereka ini pandai dari segi pencapaian akademik dan mendapat pointer terbaik tetapi kemahiran berkomunikasi masih lemah dan rendah dan perlu diperbaiki," katanya.

Program anjuran kerajaan negeri Kedah bersama pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu melibatkan penyertaan 300 pelajar tingkatan enam dari lima buah sekolah terpilih di daerah ini.

Menerusi program tersebut, peserta diajar cara-cara penulisan biodata diri dalam bahasa Inggeris, berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris serta merasai sendiri sesi temuduga pekerjaan oleh pihak penemuduga dari syarikat-syarikat anak kerajaan negeri (GLC).

Sementara itu, seorang pelajar, Muhammad Ezril Fitri Iman Mat Zamri dari Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Nyior, di sini berkata, program seperti ini patut diperluaskan ke sekolah-sekolah lain kerana memberi pengalaman berharga kepada pelajar menempuh alam pekerjaan. -- Bernama