KUALA LUMPUR: Akta Salah Laku Penjawat Awam perlu diwujudkan oleh Kerajaan sebagai usaha tambahan memerangi rasuah dengan berkesan.

Presiden Persatuan Pemeriksaan Fraud Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, akta tersebut juga bertujuan memastikan segala ketirisan yang dilaporkan Ketua Audit Negara diambil tindakan sewajarnya.

“Kita dapati setiap kali Ketua Audit Negara laporkan isu ketirisan dan masalah, kebanyakan daripada apa yang dinyatakan itu, kita tidak pasti sama ada tindakan telah diambil atau sebaliknya.

“Kita tidak pasti kerana tidak ada keterbukaan informasi daripada pihak kerajaan dan kurang laporan susulan.

“Ada yang mencadang kita luluskan Akta Salah Laku Penjawat Awam, sekiranya berlaku ketirisan atau penjawat awam tidak mengendahkan tatakelola kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.

Tambah Akhbar, usaha membanteras rasuah tidak wajar disandarkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semata-mata sebaliknya, semua ahli Jemaah Menteri perlu menunjukkan usaha yang sama seperti yang ditunjukkan Perdana Menteri.

“Saya selalu katakan, kita hanya nampak Perdana Menteri sahaja yang bercakap mengenai perangi rasuah. Ini suatu perkara yang kita lakukan (amalan anti rasuah) dan kita perlu tunjuk.

“Aktiviti promosi kita sangat lemah. Ada dua-tiga menteri sudah menunjukkan usaha yang dilakukan, dengan pasukan perhubungan yang bagus, sehingga rakyat tahu bahawa mereka telah lakukan tugas dengan baik dan ikut jejak langkah Perdana Menteri yang telus dalam aspek tadbir urus. Ini sepatutnya dicontohi oleh semua (Jemaah Menteri),” katanya lagi.

Pada Selasa, dilaporkan Skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia 2023 naik tiga mata kepada 50 mata, berbanding 47 mata pada 2022.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Muhammad Mohan berkata, skor itu meletakkan Malaysia di kedudukan 57 daripada keseluruhan 180 negara, berbanding tangga 61 pada 2022.

Dari segi kedudukan negara ASEAN, Malaysia berada di tempat kedua terbaik selepas Singapura yang merekod skor 83, dan berada di tangga kelima daripada 180 negara.


Dialog Tiga Penjuru: Rasuah | Masih Ada Isu Belum Selesai