Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mencadangkan kerajaan supaya mewujudkan dana khas dalam Bajet 2015 bagi membantu golongan wanita untuk melonjakkan taraf hidup ke arah mencapai matlamat Wawasan 2020.

Menteri berkenaan Datuk Rohani Abdul Karim berkata sebagai permulaan, kementerian akan memohon peruntukan sebanyak RM100 juta untuk dana itu, yang akan membantu wanita mendapatkan pinjaman setelah gagal menerimanya daripada institusi kewangan.

Pengurusan dana berkenaan akan diletakkan di bawah kementerian dan semua bentuk urus tadbir serta mekanisme pelaksanaannya akan diperhalusi, katanya kepada pemberita selepas perasmian sambutan Hari Wanita 2014 oleh isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor di sini, pada Isnin.

Rohani berkata dana itu akan digunakan bagi membantu golongan wanita dalam pelbagai sektor termasuk ekonomi, sosial, pendidikan dan kesihatan.

"Saya yakin pelaksanaan dana meningkatkan kesejahteraan wanita, selain membantu negara mewujudkan masyarakat berpendapatan tinggi menjelang 2020," katanya.

Mengenai sambutan itu, Rohani berkata tema 'Wanita Pendukung Aspirasi Negara' dipilih bagi menonjolkan wanita dan mengiktiraf semua sumbangan dan jasa mereka dalam memastikan kestabilan dan kemajuan negara.