KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng mencadangkan kerajaan persekutuan untuk mempertimbangkan mewujudkan zon kewangan khas di Pulau Pinang yang memfokuskan wilayah utara seperti zon kewangan khas di Forest City, Johor.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata memandangkan Pulau Pinang kini mempunyai critical mass dengan asas industri pembuatan yang matang, ini akan memacu pembangunan dan merancakkan pertumbuhan sektor perkhidmatan, bukan sahaja di wilayah utara tetapi untuk seluruh negara.

"Pernah dilaporkan Pulau Pinang memberi sumbangan cukai negeri kepada hasil persekutuan sebanyak RM10 bilion kebelakangan ini, terdapat juga laporan sebanyak 436 pojek bernilai RM22.17 bilion telah diluluskan bagi negeri Kelantan dan 511 projek dengan kos RM29.5 bilion untuk Pahang.

"Kita tidak membantah peruntukan yang diberikan tetapi kita harus membantu semua negeri dan saya berharap kerajaan persekutuan memberi pertimbangan kepada pembangunan di Pulau Pinang memandangkan negeri ini penyumbang eksport terbesar negara," katanya,

Beliau berkata demikian sewaktu membahaskan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada Ogos lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Belanjawan 2024 Negeri Johor di Kota Iskandar mengumumkan bahawa Forest City akan dijadikan sebagai Zon Khas Kewangan baharu negara.

Menurut Perdana Menteri, langkah itu bertujuan meningkatkan pelaburan di kawasan berkenaan, sekali gus merancakkan sektor ekonomi setempat dan juga kawasan sekitarnya.

Selain mewujudkan zon kewangan khas di Pulau Pinang, Lim turut mencadangkan kerajaan untuk menaikkan lantai upah untuk mencapai upah median bulanan kepada RM4,510 menjelang 2030 dengan menaikan gaji minima kepada sekurang-kurangnya RM2,000 menerusi pemotongan cukai korporat kepada 20 peratus.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan keuntungan bercukai pertama perusahaan kecil dan sederhana sebanyak RM1 juta harus dikenakan cukai 15 peratus sahaja.

Sementara itu, industri yang menggunakan konsep sekular ekonomi dimana ia bukan sahaja tidak membazirkan sumber mentah dalam pengeluaran produk tetapi pada masa, menjaga alam sekitar perlu digalakkan.

"Industry yang mengamalkan konsep ini perlu diberi tambahan insentif cukai serta potongan cukai korporat sebanyak lima peratus lebih rendah daripada biasa.

"Itu sekiranya cukai korporat dipotong kepada 20 peratus, maka mereka yg terlibat didalam sekular ekonomi harus dikenakan 15 peratus sahaja," katanya.

-- BERNAMA