KUALA LUMPUR: Dua panda gergasi, Ping Ping dan Fu Shuang dijangka tiba di zoo di Atlanta dalam beberapa hari akan datang ketika hubungan China-Amerika Syarikat (AS) menjadi tumpuan sempena lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke AS.
Panda yang disifatkan Xi sebagai “utusan persahabatan” antara rakyat China dan Amerika itu antara perkara yang disentuh beliau dalam ucapannya pada upacara sambutan di Rumah Putih, Washington, D.C. pada malam Khamis.
China kali pertama menghantar panda gergasi ke AS pada 1972 apabila Ling-Ling dan Hsing-Hsing tiba di Smithsonian’s National Zoo di Washington susulan lawatan bersejarah Presiden AS ketika itu Richard Nixon ke China.
Bagi Zoo Atlanta, ketibaan Ping Ping dan Fu Shuang menandakan kembalinya panda gergasi selepas dua tahun tidak ditempatkan di zoo berkenaan.
Empat panda yang sebelum ini berada di zoo itu iaitu Lun Lun, Yang Yang, Ya Lun dan Xi Lun kembali ke China pada Oktober 2024 selepas menghabiskan 25 tahun di Atlanta.
Dalam ucapannya pada upacara sambutan di Rumah Putih, Xi menggesa China dan AS memperkukuh komunikasi, meningkatkan kerjasama dan hidup bersama secara aman sambil mengelakkan konflik serta konfrontasi.
Teks ucapan beliau diperoleh Bernama.
Xi berkata dialog yang berterus terang, mendalam dan berterusan boleh membantu kedua-dua negara memahami antara satu sama lain dengan lebih baik, mencari titik persamaan sambil mengetepikan perbezaan serta membina kepercayaan bersama.
“Kita harus hidup bersama secara aman. Seperti yang telah saya katakan berkali-kali, China dan AS sebagai dua negara besar akan sama-sama mendapat manfaat daripada kerjasama dan kedua-duanya akan rugi jika berlaku konfrontasi,” katanya.
Beliau berkata kedua-dua negara tidak perlu mengelakkan persaingan, namun persaingan itu perlu sihat dan berada dalam batas yang terkawal.
“Ia sepatutnya menjadi perlumbaan untuk saling mengejar, bukannya pertarungan yang menyaksikan satu pihak menang dan satu pihak kalah,” kata beliau.
Xi berkata China dan AS perlu berpegang pada garis dasar untuk mengelakkan konflik dan konfrontasi, manakala angkatan tentera kedua-dua negara perlu mengekalkan dialog berkala serta memperkukuh mekanisme komunikasi dan pencegahan krisis.
Beliau turut berkata “Perangkap Thucydides boleh dielakkan”.
Mengenai kerjasama ekonomi, Xi berkata kepentingan China dan AS saling berkait rapat serta terdapat ruang luas untuk bekerjasama.
Beliau berkata China mengalu-alukan syarikat AS yang mahu melabur dan menjalankan perniagaan di China, sambil berharap syarikat China mendapat layanan adil di AS.
“Dengan bekerjasama, kita boleh memanjangkan senarai kerjasama dan memendekkan senarai isu,” kata pemimpin itu.
Mengenai kecerdasan buatan (AI), Xi berkata China dan AS merupakan antara negara peneraju dalam bidang itu serta mempunyai keupayaan dan tanggungjawab untuk membangunkan dan mengurus AI demi kebaikan bersama.
Beliau berkata kedua-dua pihak perlu memastikan pembangunan AI kekal di bawah kawalan manusia dan memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat.
Xi turut berkata China bersedia memperkukuh kerjasama dengan AS dalam usaha membanteras dadah dan penguatkuasaan undang-undang, selain meningkatkan penerbangan terus bagi memudahkan perjalanan dua hala dan perdagangan.
Beliau berkata kedua-dua negara pernah berganding bahu menentang pencerobohan fasis semasa Perang Dunia Kedua, sambil menambah bahawa rakyat China dan Amerika tidak pernah melupakan sejarah itu.
“Harapan hubungan China-AS terletak pada rakyat kita dan masa depannya terletak pada golongan muda,” kata beliau.
Xi mengumumkan China akan menjemput 100,000 golongan muda Amerika untuk melawat negara itu bagi tujuan pertukaran dan pengajian dalam tempoh lima tahun akan datang.
Xi berkata kebangkitan semula bangsa China dan usaha menjadikan Amerika hebat semula boleh bergerak seiring, sambil menyeru kedua-dua negara memenuhi harapan rakyat masing-masing dan bekerjasama membina dunia yang lebih baik.
Xi berada di Washington untuk lawatan negara atas jemputan Presiden AS Donald Trump.
-- BERNAMA