JOHOR BAHRU: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Moscow atas jemputan khas Kerajaan Persekutuan Rusia sempena sambutan Ulang Tahun Hari Kemenangan, pada 9 Mei ini.
Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda berlepas ke ibu negara Rusia itu menggunakan pesawat peribadi dari Hangar Diraja, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, pada jam 8 pagi tadi.
Jemputan khas daripada Presiden Rusia, Vladimir Putin kepada Seri Paduka Baginda mencerminkan tahap pengiktirafan tertinggi Kerajaan Rusia terhadap Malaysia serta hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Berangkat sama untuk mengucapkan selamat berangkat kepada Seri Paduka Baginda di Hangar Diraja ialah Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.
Hadir sama ialah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail serta Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.
Turut hadir, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad selain Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor serta pegawai-pegawai kanan Kerajaan Negeri.