KOTA BHARU:Cubaan untuk tidak menyokong Belanjawan 2021 yang bakal dibentangkan bukan sahaja merugikan negara bahkan rakyat keseluruhannya.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata demikian berikutan dakwaan ada cubaan sebahagian Ahli Parlimen menolak belanjawan kali ini bagi menjejaskan kedudukan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, jika ia berlaku, rakyat dan negara akan paling terkesan kerana belanjawan itu bakal menetapkan peruntukan untuk memerangi pandemik COVID-19.

"Sebagaimana titah Agong bahawa bajet ini perlu diluluskan sebab ada desas-desus, ada usaha nak jejaskan perdana menteri, antaranya menolak bajet yang dianggap sebagai isyarat penolakan kepimpinan PM.

"Kalau benda ini berlaku, yang rugi bukan PM seorang, tapi negara kerana dalam bajet ada peruntukan tangani COVID-19," kata Mohd Amar.

Pas, katanya, menyambut baik titah yang di-Pertuan Agong supaya mengurangkan politiking kerana negara sedang berdepan dengan peningkatan kes COVID-19.



Beliau yang juga Naib Presiden Pas menjelaskan parti itu mengulangi pendirian menyokong kepimpinan Muhyiddin.

BACA: Pas setia dengan kepimpinan Muhyiddin - Takiyuddin

Pada masa sama, Pas juga mengajak semua pimpinan parti mengambil 'cuti' seketika dan berganding bahu memerangi COVID-19.