OSLO: Kapal kontena elektrik dan kemudi sendiri pertama di dunia, yang dimiliki oleh syarikat pembuat baja Yara, sedang bersedia untuk menelusuri pantai selatan Norway dan memainkan peranannya dalam rancangan negara itu untuk 'membersihkan' industri tersebut.

Kapal Yara Birkeland, yang dipanggil feeder sepanjang 80 meter, akan menggantikan pengangkutan lori antara kilang Yara di Porsgrunn di selatan Norway dan pelabuhan eksportnya di Brevik, kira-kira 14 km melalui jalan raya, mulai tahun depan.

Ia akan mengurangkan 1,000 tan pelepasan karbon setahun, bersamaan dengan 40,000 perjalanan berkuasa diesel melalui jalan raya, dan dijangka menjadi autonomi sepenuhnya dalam tempoh dua tahun.

Bagi Yara, ia bermakna mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2) di kilangnya di Porsgrunn, salah satu sumber CO2 terbesar di Norway, kata Ketua Eksekutif Svein Tore Holsether.

"Sekarang kami telah mengambil lonjakan teknologi ini untuk menunjukkan ia sebenarnya boleh dan saya fikir terdapat begitu banyak laluan di dunia yang membolehkan pelaksanaan jenis kapal yang sama," katanya kepada Reuters.

Dibina oleh Vard Norway, Kongsberg menyediakan teknologi utama termasuk penderia dan penyepaduan yang diperlukan untuk operasi jauh dan autonomi.

"Ini bukan tentang menggantikan anak kapal, ia menggantikan pemandu trak," kata Jostein Braaten dari Yara, pengurus projek untuk kapal itu.

Kapal itu akan memuat dan memunggah kargonya, mengecas semula baterinya dan juga mengemudi tanpa penglibatan manusia.

Penderia akan dapat dengan cepat mengesan dan memahami objek seperti kayak di dalam air supaya kapal boleh memutuskan tindakan yang perlu diambil untuk mengelak daripada terkena apa-apa, kata Braaten.

Sistem itu sepatutnya menjadi penambahbaikan berbanding sistem manual, tambahnya.

"Kami telah menghilangkan unsur manusia, yang hari ini juga menjadi punca banyak kemalangan yang kami lihat," kata Braaten.

Kapal itu akan melakukan dua perjalanan seminggu sebagai permulaan dan mempunyai kapasiti untuk menghantar 120 kontena baja 20 kaki pada satu masa.

Ia dikuasakan oleh bateri yang disediakan oleh Swiss Leclanche 7 megawatt jam ke atas lapan bilik bateri, bersamaan dengan 100 kereta Tesla, kata Braaten.


Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, permotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !