Yayasan Hasanah gerakkan lebih RM1.09 juta bantuan banjir, pemulihan

Sepanjang tahun ini, Yayasan Hasanah telah menyalurkan bantuan melalui kerjasama dengan pelbagai badan kemanusiaan dan bantuan bencana. - Foto Yayasan Hasanah
KUALA LUMPUR: Yayasan Hasanah (Hasanah) menggerakkan lebih RM1.09 juta dalam bentuk bantuan banjir dan pemulihan kepada komuniti yang terjejas akibat Monsun Timur Laut (MTL).
Ringkasan AI
- Yayasan Hasanah menggerakkan lebih RM1.09 juta bantuan banjir dan pemulihan kepada komuniti terjejas akibat Monsun Timur Laut, dibiayai oleh Khazanah Nasional Berhad dan disokong Kementerian Kewangan.
- Sebanyak 18 inisiatif bantuan banjir telah disalurkan, memberi manfaat kepada lebih 10,700 individu dan keluarga di pelbagai negeri termasuk Kelantan, Kedah, Pahang, dan Selangor.
- Yayasan juga memberi fokus kepada sokongan pemulihan pascabanjir termasuk bantuan makanan, kit kebersihan, bantuan perubatan, dan keperluan kritikal dalam tempoh 48 jam pertama, memastikan keadaan hidup yang selamat dan bermaruah.
Sepanjang tahun ini, Hasanah telah menyalurkan bantuan melalui kerjasama dengan pelbagai badan kemanusiaan dan bantuan bencana untuk memastikan sokongan yang cepat dan bersasar ketika banjir melanda beberapa kawasan di negara ini.
"Di samping itu, Khazanah telah meningkatkan sumbangannya melalui Hasanah untuk bantuan kemanusiaan kepada peruntukan dana sebanyak RM5 juta," kata yayasan itu dalam kenyataan pada Rabu.
Sementara itu, Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Hasanah, Siti Kamariah Ahmad Subki berkata pihaknya telah bekerjasama secara proaktif dengan rakan pelaksana dan agensi utama termasuk NADMA bagi memastikan bantuan dapat disalurkan segera.
"Perancangan awal membolehkan pihaknya menjangka keperluan, menempatkan bantuan lebih awal dan memperoleh barangan penting dalam tempoh 48 jam pertama bagi keluarga yang terjejas," ujar beliau.
Selain fasa kecemasan, Hasanah juga memberi fokus kepada sokongan kepada mangsa dalam pemulihan pascabanjir, sekali gus memastikan mereka dapat kembali ke rumah dan komuniti yang selamat.
Bantuan yang disalurkan termasuk makanan sedia dimakan (RTE), kit kebersihan diri, sokongan bahan api untuk bot, bantuan perubatan, dan kit kecemasan.
Intervensi tersebut meliputi keperluan kritikal dalam tempoh 48 jam pertama dan juga fasa pemulihan pascabanjir bagi memastikan keadaan hidup yang selamat dan bermaruah.
Dapatkan info, ramalan cuaca dan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

