JOHOR BAHRU: Yayasan Johor Corporation (Yayasan JCorp) meneruskan usaha memulihara ekosistem marin dengan menanam dan memulihkan 300 fragmen karang, menerusi Program Pemulihan Terumbu Karang di Pulau Aur, Mersing.
Program tahun ketiga yang berlangsung selama tiga hari bermula 4 Sept itu, menjadikan keseluruhan 550 fragmen karang dipulihkan Yayasan JCorp sejak inisiatif berkenaan dilaksanakan pada 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan JCorp Datuk Mizan Yahya berkata pemuliharaan marin, memerlukan komitmen berterusan dan kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan ekosistem berkenaan terus terpelihara.
“Setiap usaha yang dilaksanakan membawa kita selangkah lebih dekat kepada terumbu yang lebih sihat dan biodiversiti yang lebih kaya, sekali gus menyokong kelangsungan hidupan marin.
“Program ini menunjukkan bahawa usaha pemuliharaan memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk rakan strategik, sukarelawan dan komuniti setempat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Program dengan kerjasama Reef Check Malaysia itu, memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan daya tahan terumbu karang, kepelbagaian hidupan marin serta kelestarian ekosistem perairan Pulau Aur.
Selain pemulihan terumbu karang, aktiviti pembersihan dasar laut dan kawasan pantai serta pengalihan sulaiman duri mahkota, yang boleh mengancam terumbu karang turut dilaksanakan.
Program itu turut merangkumi Pentas Seni Johor, permainan pantai bersama komuniti, sesi pertukaran budaya dan sembang santai selain penyampaian sumbangan kepada komuniti pulau.
Yayasan JCorp turut mengadakan sesi kesedaran pemuliharaan dan perkongsian ilmu, bagi menggalakkan komuniti setempat memainkan peranan aktif dalam melindungi serta memantau ekosistem marin.
Usaha pemulihan berkenaan menyasarkan kadar kelangsungan hidup karang sebanyak 70 peratus selepas 12 bulan.
Program Pemulihan Terumbu Karang merupakan antara inisiatif Yayasan JCorp di bawah bidang fokus alam sekitar selain pemulihan hutan bakau, pemuliharaan rumput laut, pembersihan sungai dan pesisir pantai serta kempen kesedaran biodiversiti dan ekopelancongan berasaskan komuniti.
-- BERNAMA