MALAYSIA
Yayasan LTAT perkenal lima inisiatif pendidikan bantu anak warga ATM

Khaled (empat, kiri) menyerahkan sumbangan peranti komputer riba Program e-Perkasa SPM 2025 kepada sebahagian penerima selepas merasmikan Majlis Peluncuran Inisiatif Pendidikan Yayasan LTAT 2025. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) hari ini melancarkan lima program inisiatif pendidikan bagi tahun 2025, bagi memperkasakan aspek pendidikan, kemahiran dan kebajikan anak-anak serta keluarga warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Ringkasan AI
- Lima program dilancarkan termasuk e-Perkasa SPM, Sentuhan Elit SPM, Kemahiran Keluarga Tentera (K2T), Simpanan Pendidikan MADANI dan STEM, bertujuan memperkasakan pendidikan dan kemahiran anak-anak serta keluarga warga ATM.
- Program melibatkan kerjasama strategik dengan institusi seperti UPSI, USM, TalentCorp, PTPTN, JPPKK dan penaja korporat seperti BHICAS, BHPetrol, PERNAMA dan Pharmaniaga, dengan sumbangan CSR berjumlah RM3.2 juta.
- Inisiatif merangkumi pemberian peranti percuma, tajaan yuran kursus kemahiran, sumbangan simpanan pendidikan dan pembangunan modul STEM, menyasarkan pelajar SDK, anak-anak ATM dan ahli BAKAT.
"Melalui program ini, setiap pelajar yang terpilih telah dibekalkan dengan peranti secara percuma hasil tajaan BHIC AeroServices Sdn Bhd (BHICAS) dan Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol), serta Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) selaku penaja keseluruhan program," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Inisiatif Pendidikan Yayasan LTAT 2025 di Hotel Royale Chulan, di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata inisiatif kedua ialah Program Sentuhan Elit SPM yang melibatkan seramai 658 pelajar terpilih daripada enam buah Sekolah Dalam Kem (SDK).
"Mereka akan mengikuti program seperti tuisyen insentif SPM, bengkel teknik menjawab soalan, serta program kerjaya dan hala tuju selepas SPM," katanya.
Beliau berkata inisiatif ketiga ialah Program Kemahiran Keluarga Tentera (K2T) yang memperluaskan peluang pendidikan dan kemahiran peringkat tertiari bagi warga ATM, termasuk ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) dan anak-anak mereka.
"Mereka berpeluang mengikuti 22 bidang kursus jangka pendek seperti masakan dan solekan.
"Mereka yang melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian MARA dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta setaraf, akan menerima tajaan yuran tidak melebihi RM3,000 seorang.
"Ini hasil kerjasama Yayasan LTAT dengan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dengan suntikan dana daripada Pharmaniaga Berhad selaku penaja utama," katanya.
Mohamed Khaled berkata inisiatif keempat ialah Program Simpanan Pendidikan MADANI yang dilaksanakan hasil kerjasama antara Yayasan LTAT dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
"Melalui program ini, 3,775 pelajar Tahun 1 dalam kalangan anak-anak anggota tentera yang masih berkhidmat, telah menerima sumbangan RM50 secara sekali beri dalam bentuk akaun Simpanan SSPN Prime dengan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM188,750," katanya.
Beliau berkata inisiatif kelima ialah Program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang merupakan hasil kerjasama strategik antara Yayasan LTAT bersama Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan Universiti Sains Malaysia (USM).
"TalentCorp berperanan untuk membangunkan kesedaran awal tentang kepentingan STEM dan bimbingan kerjaya, manakala USM memainkan peranan dalam pembangunan modul pembelajaran STEM serta berfungsi sebagai penyelaras bersama universiti awam di seluruh negara, untuk melaksanakan program ini di sekolah dalam kem (SDK)," katanya.
Pada majlis sama, Mohamed Khaled turut menyaksikan pemberian sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berjumlah RM3.2 juta daripada Affin Bank Berhad, BHPetrol dan Kemalak Group Sdn Bhd bagi memperkasakan masa depan generasi pertahanan.
Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali, Pengerusi LTAT Jen (B) Tan Sri Azizan Ariffin, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan serta Ketua Eksekutif Yayasan LTAT Datuk Dr Mohd Nizar Sudin.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami