KUALA LUMPUR: Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) komited untuk terus memperkukuh pelaksanaan Program Kemahiran Keluarga Tentera (K²T) dengan memperluas akses kepada kursus kemahiran yang mempunyai nilai tambah serta relevan dengan keperluan semasa.
Menurut Yayasan LTAT, usaha itu selaras dengan mandat Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam memperkasa kesejahteraan dan pembangunan keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi inisiatif yang memberi manfaat serta impak berterusan.
"Yayasan LTAT komited untuk terus memperkukuh pelaksanaan Program K²T dengan memperluas akses kepada kursus kemahiran yang mempunyai nilai tambah serta relevan dengan keperluan semasa," menurut yayasan itu dalam kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, seramai 50 ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Pangkalan Udara Sendayan mengikuti Kursus Resin Art yang diperkenalkan buat julung kalinya di bawah Program K²T.
Kursus itu memberi penekanan kepada penguasaan kemahiran seni resin menerusi pembelajaran teori dan latihan amali.
Menurut Yayasan LTAT, kursus berkenaan dikategorikan sebagai antara program bernilai premium kerana kandungan latihan yang lebih khusus serta memberi penekanan kepada kemahiran kreatif yang mempunyai nilai estetik dan potensi komersial.
"Pendedahan ini turut membuka ruang kepada peserta untuk mengembangkan kemahiran tersebut melalui penghasilan produk kreatif yang berpotensi dikembangkan sebagai aktiviti keusahawanan dan sumber pendapatan," katanya lagi.
Sehingga kini, seramai 131 peserta telah mengikuti pelbagai kursus di bawah Program K²T meliputi urutan tradisional, pengendalian makanan, pengurusan stres dan terapi relaksasi serta kraf seni resin.
Pelaksanaan program itu diperkukuh menerusi kerjasama strategik antara Yayasan LTAT dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), dengan Kolej Komuniti Jempol bertindak sebagai penyedia latihan.
"Sejajar dengan itu, Yayasan LTAT terus memberi penekanan kepada peningkatan pengembangan potensi serta pembukaan ruang kepada peluang ekonomi yang lebih luas bagi keluarga ATM," tambahnya.