MARAN: "Yea laik yok vaksin!" Kata Kasemai Siput selepas menerima suntikan vaksin dos pertama bersama empat adiknya di Dewan Orang Ramai Kampung Paya Besar di sini menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan hari ini.

Menurut Kasemai, 68, 'yea laik yok' merupakan dialek atau loghat masyarakat Orang Asli yang sering digunakan suku kaum Semelai yang membawa maksud 'saya sudah ambil'.

Katanya, meskipun tinggal di rumah berlainan, beliau bersama adiknya Ongcong, 55; Mariana, 46; Norhayati, 41; dan Fahizul, 40, dapat 'berkumpul' di pusat pemberian vaksin (PPV) berkenaan pagi tadi bagi mendapatkan suntikan vaksin jenis Sinovac.

"Pada mulanya saya agak gementar kerana tengok di televisyen jarum nampak besar tapi bila datang sini kecil saja jarum yang digunakan. Saya akui mula-mula bimbang kerana menghidap penyakit tiga serangkai, tetapi pihak kesihatan menasihati untuk membawa kad rekod perubatan bagi disemak ketika hadir mengambil vaksin, mujur saya layak untuk terima suntikan," katanya kepada Bernama.

Perasaan gembira menerima suntikan vaksin bersama ahli keluarga turut dikongsi Norhayati yang menganggap mengambil vaksin adalah tanggungjawabnya untuk memutuskan rantaian COVID-19 dan beliau juga tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar semasa proses pemberian vaksin untuk memberi semangat kepada rakan dan saudara-mara.

"Saya ambil gambar untuk sebarkan dalam kumpulan WhatsApp, bagi kesedaran dan semangat kepada mereka, kerana banyak berita yang tidak betul dalam media sosial telah mempengaruhi mereka," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Maran Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib berkata kira-kira 1,300 Orang Asli di kawasan Parlimen itu telah disenaraikan untuk divaksinasi secara berperingkat dan peringkat pertama bermula hari ini.

Ismail yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata lebih 60 masyarakat Orang Asli dijadualkan menerima vaksin hari ini dan mereka telah memberikan respons positif sejurus menerima suntikan.

"Kita ambil pendekatan untuk turun padang kerana dengan cara ini mereka tidak perlu fikir soal pengangkutan dan sebagainya, ia lebih mudah kerana mereka tidak perlu keluar dengan jarak yang jauh. Saya juga difahamkan bekalan vaksin terhad dan saya akan menulis surat memohon tambahan vaksin diberikan di kawasan Parlimen ini agar lebih ramai dapat divaksin," katanya.

Sementara itu di Port Dickson, Negeri Sembilan, penduduk kampung Orang Asli Bukit Kepong berterima kasih kepada pasukan petugas kesihatan yang sanggup menempuh perjalanan jauh semata-mata mahu memberikan suntikan vaksin di Balai Adat perkampungan itu.

Program pemberian vaksin bergerak itu merupakan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Negeri Sembilan dan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Port Dickson untuk memberikan suntikan vaksin COVID-19 kepada 90 penduduk di situ.

Bubot Tahat, 84, yang ditemani cucu, Suzaina Kamil, 34, berkata kehadiran petugas kesihatan ke kampungnya itu dapat memberikan keyakinan serta galakan kepada penduduk kampung lain yang masih ragu-ragu untuk menerima vaksin.

"Terima kasih datang dari jauh ke kampung ini, mak cik tidak rasa sakit sangat, macam kena gigit semut sahaja," katanya sambil memberikan isyarat 'bagus' selepas menerima vaksin di Balai Adat.

Bagi Suzaina yang turut menerima vaksin memuji semangat 'gendoi' yang bermaksud nenek kerana secara sukarela hadir untuk disuntik tanpa paksaan daripada ahli keluarga.

Guru tadika, Norleela Mohd Kasim, 33, berkata pada permulaan ahli keluarganya tidak mahu menerima suntikan vaksin namun setelah beliau menjelaskan kebaikan dan kepentingan vaksin mereka mengubah fikiran dan bersetuju mendapatkan suntikan.

Ketua Kampung Orang Asli (Tok Batin) Omar Goming, 64, berkata penduduknya tidak perlu bersusah payah keluar untuk menerima suntikan dan mereka juga boleh mendapat maklumat yang tepat mengenai vaksin daripada petugas kesihatan menerusi program pemberian vaksin bergerak itu.

Sementara itu, Pengarah Jakoa Negeri Sembilan dan Melaka Shahrani Idderis berkata secara keseluruhan seramai 8,167 Orang Asli melibatkan 69 kampung di negeri itu layak menerima vaksin.

-- BERNAMA