Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Zairil Khir Johari disifatkan seorang kaki sosial dan individu yang bermasalah moral sehingga terpaksa mengeluarkan kenyataan tidak percaya kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Armand Azha Abu Hanifah berkata, penolakan Zairil terhadap pimpinan Abdul Hadi dilihat berpunca daripada beberapa masalah sosial yang ditimbulkannya sendiri sebelum ini.

"Zairil menolak keputusan Abdul Hadi kerana dia tahu dirinya terlibat dalam banyak permasalah moral.

"Zairil ini seperti mana kita tahu seorang yang berpegang cara hidup liberal.

"Selain itu dia juga tidak jujur dengan rakyat apabila mengatakannya anak Khir Johari sedangkan sejarah dan fakta menyatakan dia adalah anak tiri," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Armand mengulas kenyataan Zairil yang menyatakan Pakatan Rakyat tidak mungkin mempunyai masa depan sekiranya pucuk pimpinan PAS terus diterajui oleh Abdul Hadi.

Zairil berkata demikian berdasarkan pendiriannya bahawa tindak-tanduk Abdul Hadi dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang meluluskan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 pada 19 Mac lalu.

Sebelum ini, media sosial gempar dengan gambar aksi Zairil yang memaparkan seseorang dengan wajah miripnya dan calon PRK Telok Intan, Dyana Sofya.

Bagaimanapun Zairil menafikan gambar berkenaan selain berkata mungkin akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan gambar berkenaan.

Dalam pada itu kata Armand, Zairil kini disifatkan perlu memperbetulkan diri sendiri dan meminta maaf kerana selama ini sudah menipu rakyat terutama di kawasannya Bukit Bendera.

"Bagi saya, baik Zairil perbetulkan dirinya sendiri yang terpalit masalah sosial dan harus bertaubat kerana menipu rakyat tentang dirinya untuk kepentingan politik peribadi.

"Kita tidak perlukan seorang ahli politik yang tidak faham erti budi bahasa dan mempertikai keputusan Abdul Hadi serta kepimpinan tertinggi PAS," jelasnya.

Armand turut menyamakan Zairil seperti pepatah 'Musang Berbulu Ayam' dan tidak terkejut apabila dimaklumkan kawasannya penuh dengan rumah urut dan kelab malam.

"Jadi tidak hairanlah kawasannya di Bukit Bendera dipenuhi dengan rumah urut dan kelab malam kerana Ahli Parlimen mereka seorang yang gemar dengan cara hidup sosial," ujarnya.

Selain tidak bersetuju dengan Abdul Hadi, Zairil turut menyatakan masa depan Pakatan Rakyat akan terus samar dan tidak akan berjaya selagi 'pengkhianat' yang dinyatakannya masih kekal berkuasa di dalam PAS.