Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semakin matang dalam pentadbirannya.

Menurut Abdul Hadi, Dr Mahathir telah banyak belajar daripada kelemahannya mentadbir sebelum ini.

"Suasana masyarakat berubah, keadaan berubah dan pemikiran beliau juga berubah. Pengalamannya lebih banyak lagi dan beliau belajar daripada kelemahan dulu.

"Dengan itu, kita jangka beliau jadi lebih matang. Sebab itu beliau janji nak beri balik royalti kepada kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu... itu berlaku kematangan hidup," katanya dalam sidang media sempena Muktamar Tahunan Pas ke-64, hari ini.


Beliau berkata demikian mengulas pertanyaan mengenai perbezaan Dr Mahathir berbanding ketika menjadi perdana menteri keempat.

Ketika ditanya wartawan sama ada Dr Mahathir lebih baik berbanding dulu, Abdul Hadi mengangguk sambil tersenyum dan berkata, "Ya."

Mengulas mengenai ucapan dasarnya yang menyentuh dasar Politik Damai, Abdul Hadi berkata, Pas tidak mengambil pendekatan menyerang terhadap kerajaan PH.

"Tetapi pendekatan kita lebih kepada berhujah walaupun kita berdepan serangan bertubi-tubi kerajaan Persekutuan," katanya.