Wanita Keadilan membidas dakwaan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berpendapat bahawa Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak layak menerajui tampuk pemerintahan negeri Selangor.

Memetik laporan sebuah portal berita, Ketua Penerangan Wanita Keadilan Azura Aziz berkata tidak timbul persoalan dalam pemilihan Wan Azizah sebagai calon dari parti Keadilan.

Menurutnya, pengalaman Wan Azizah yang dilihat hebat di gelanggang politik membuatkan beliau layak diangkat sebagai calon MB Selangor.

Tambah Azura, kehebatan Wan Azizah makin terserlah semasa Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 dan 2008 apabila diangkat menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh setelah memenangi kerusi itu dengan menewaskan bekas Imam Besar Masjid Negara, Datuk Pirdaus Ismail daripada Barisan Nasional.

Dalam pada itu, Azura dengan nada sinis berkata PAS tidak amanah berikutan tindakan parti itu mencalonkan tiga nama lain sebagai MB Selangor.

Azura turut dilaporkan sebagai berkata bahawa Presiden PAS Datuk Seri Hadi Abdul Awang tidak seharusnya membuat “kejutan”, selain menggunakan pelbagai alasan untuk mewajarkan tindakannya.

Beliau turut mempersoalkan integriti Abdul Hadi sebagai Presiden parti dan menganggapnya sebagai cukup mengecewakan.

Terbaharu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) turut senada dalam menyuarakan sentimen parti yang kesal dengan kenyataan Abdul Hadi itu.