Skip to main content

Malaysia

Zakat Selangor sasar RM234 juta, IKTIRAF galak syarikat berzakat

ZAKAT SELANGOR TB
Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj menyaksikan penyerahan simbolik zakat perniagaan PBLT Sdn Bhd kepada Lembaga Zakat Selangor. -Gambar Zakat Selangor
Advertisement

SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) menyasarkan kutipan zakat perniagaan sebanyak RM234 juta tahun ini, daripada sasaran keseluruhan kutipan dan agihan zakat RM1.37 bilion bagi 2026.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Khaidzir Shahari berkata potensi kutipan zakat perniagaan di Selangor masih besar seiring kepesatan aktiviti ekonomi dan perniagaan di negeri itu.

“Kejayaan bukan sekadar bergantung pada pencapaian angka sasaran. Matlamat lebih besar adalah memastikan lebih banyak syarikat dan usahawan memahami tanggungjawab berzakat, seterusnya tampil menunaikan kewajipan itu,” katanya.

Menurutnya, kutipan zakat perniagaan sehingga Ogos masih berada pada landasan yang ditetapkan dengan prestasinya dipantau setiap bulan.

“Setakat Ogos, kutipan zakat perniagaan berada pada landasan yang tepat dan sejajar dengan sasaran yang ditetapkan.

“Kita memantau prestasi kutipan setiap bulan dan melaksanakan strategi menerusi operasi di peringkat daerah dengan berpandukan data bagi mendekati syarikat serta usahawan yang berpotensi,” ujarnya.

Bagi memperluas penyertaan syarikat dan usahawan, Zakat Selangor melancarkan Inisiatif Pengiktirafan Muzakki Zakat Selangor (IKTIRAF) kepada organisasi yang konsisten menunaikan zakat perniagaan.

Inisiatif itu menyediakan beberapa peringkat pengiktirafan berdasarkan jumlah zakat yang ditunaikan, bermula dengan IKTIRAF Gangsa bagi pembayaran RM20,000 dan ke atas sehingga peringkat tertinggi, IKTIRAF Berlian.

“Bagi menggalakkan syarikat membayar zakat perniagaan, kita menyediakan pengiktirafan mengikut jumlah zakat yang ditunaikan.

“Syarikat yang membayar zakat RM20,000 dan ke atas akan menerima IKTIRAF Gangsa, sebelum meningkat mengikut peringkat sehingga IKTIRAF Berlian.

“Pengiktirafan itu membolehkan mereka menggunakan label IKTIRAF selama 18 bulan,” jelasnya.

Mohd Khaidzir berkata, syarikat yang kembali menunaikan zakat perniagaan pada tahun berikutnya akan menerima pembaharuan pengiktirafan secara automatik.

Label IKTIRAF itu boleh dipamerkan pada produk syarikat sebagai tanda komitmen mereka terhadap pembayaran zakat serta pembangunan sosioekonomi ummah.

“Kita berharap IKTIRAF menjadi tarikan dan dorongan kepada lebih ramai usahawan untuk mula menunaikan zakat perniagaan kepada Zakat Selangor,” tambanya.

Beliau berkata, label itu juga berpotensi meningkatkan keyakinan pengguna kerana pembelian produk daripada syarikat berkenaan secara tidak langsung menyokong ekosistem zakat yang akhirnya memberi manfaat kepada golongan asnaf.

Setakat ini, kira-kira 44 syarikat bersama logo masing-masing telah disenaraikan di laman sesawang khusus IKTIRAF.

Pelancaran rasmi inisiatif itu berlangsung sempena Majlis Hi-Tea Bersama Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj di sini.

Majlis berkenaan turut menyaksikan 44 syarikat menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM11.48 juta kepada Zakat Selangor.

Lima syarikat menerima pengiktirafan secara simbolik, iaitu D’Herbs Holdings Sdn Bhd, Bawal Sdn Bhd, Eskayvie Sdn Bhd, Wawa Global Sdn Bhd dan 7’Asia Health & Beauty.

Image
ZAKAT SELANGOR INSERT
Tengku Amir Shah bersama wakil Wawa Global Sdn Bhd selepas syarikat itu menerima pengiktirafan menerusi inisiatif IKTIRAF. - Gambar Zakat Selangor

Majlis yang menghimpunkan kira-kira 200 pembayar zakat daripada pelbagai latar belakang, khususnya usahawan muda, itu merupakan kerjasama kali kedua antara Zakat Selangor dan Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS).

Dalam pada itu, Mohd Khaidzir menyeru syarikat, usahawan dan peniaga supaya menunaikan zakat di negeri tempat perniagaan mereka beroperasi, khususnya di Selangor.

“Sesebuah perniagaan yang beroperasi, berkembang dan menjana hasil di sesebuah negeri turut menikmati manfaat daripada ekosistem setempat, termasuk tenaga kerja, pelanggan, kemudahan, pembangunan serta sokongan komuniti.

“Oleh itu, sebahagian daripada manfaat ekonomi yang dijana wajar dikembalikan kepada masyarakat setempat, khususnya golongan asnaf dan mereka yang memerlukan,” katanya.

Pada majlis sama, YRMS menerima dana wakalah berjumlah RM400,000, merangkumi RM300,000 daripada Worldwide Holdings Berhad dan RM100,000 daripada Tenaga Nasional Berhad.

Dana berkenaan akan digunakan bagi menyokong program kebajikan, pendidikan dan pembangunan belia yang dilaksanakan yayasan itu.

Must Watch Video

Advertisement