KUALA LUMPUR: Pengerusi bersama Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia Bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) Tan Sri Zakri Abdul Hamid kembali menjadi tajuk utama berita apabila beliau dilantik sebagai seorang daripada 66 anggota Felo Pengasas Majlis Sains Antarabangsa (ISC).

Dalam satu kenyataan hari ini, MIGHT berkata pengumuman itu dibuat oleh Presiden ISC Peter Gluckman pada majlis perasmian yang diadakan di Paris, semalam.

Menurut kenyataan itu, Zakri yang juga Felo Kanan Akademi Sains Malaysia (ASM) merupakan wakil Felo Pengasas tunggal dari Malaysia dan ASEAN.

Turut tersenarai ialah ahli ekonomi terkenal Amerika Syarikat Jeffrey Sachs, Presiden Akademi Sains Dunia (TWAS) Mohamed H. Hassan, Presiden Persatuan Saintifik Diraja Jordan Puteri Sumaya El Hassan, pemenang Hadiah Nobel dari Taiwan Yuan T. Lee dan Jane Lubchenco daripada Pejabat Dasar Sains dan Teknologi Rumah Putih.

Pengiktirafan itu merupakan penghormatan tertinggi yang diberikan oleh ISC kepada saintis individu.

Ia mengiktiraf individu yang mempunyai rekod prestasi yang luar biasa dalam lebih daripada satu domain berikut; iaitu mempromosikan sains untuk kebaikan global di peringkat antarabangsa; menyediakan kepimpinan saintifik yang luas (di arena antarabangsa atau serantau); mempromosikan suara global untuk sains; membangunkan inisiatif dan struktur saintifik utama, dan pencapaian saintifik.

ISC ialah pertubuhan bukan kerajaan dengan keahlian global yang unik yang menghimpunkan lebih 200 kesatuan saintifik antarabangsa dan persatuan serta organisasi saintifik nasional dan serantau termasuk akademi dan majlis penyelidikan.

Sementara itu, Zakri menzahirkan penghargaan kepada ISC atas pengiktirafan yang disifatkannya sebagai satu penghormatan besar bukan sahaja buat dirinya malah kepada negara.

"Untuk memastikan kita seiring dengan perkembangan saintifik dan teknologi, seseorang itu perlu bersama dengan mereka yang terbaik. Tambahan pula, Malaysia mesti kekal komited dalam kerjasama antarabangsa dan proaktif dalam diplomasi sains," katanya.

Zakri, kini Penyandang Kelima Kursi Tun Hussein Onn Pengajian Antarabangsa di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia, selain bekas penasihat sains kepada Perdana Menteri dan Ahli Lembaga Penasihat Saintifik kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ketika itu, Ban Ki-moon.

Sementara itu ketika mengalu-alukan pengiktirafan terbaharu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT Datuk Mohd Yusoff Sulaiman memuji usaha dan dedikasi sepanjang hayat Zakri dalam mempromosikan kerjasama saintifik antarabangsa.

"Kesediaan kami dalam mengasimilasikan kemajuan saintifik dan teknologi tinggi, akan terus kekal sebagai asas kesejahteraan kami yang merupakan antara negara perdagangan terkemuka di dunia.

"Justeru, kita memerlukan pemimpin-pemimpin sains untuk memperjuangkannya," tambahnya.

-- BERNAMA