Penasihat Sains Perdana Menteri dan Pengerusi Bersama Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT), Profesor Emiritus Datuk Seri Dr. Zakri Abdul Hamid diumumkan sebagai salah seorang daripada pemenang Hadiah Antarabangsa Alam Sekitar Zayed 2014 di Dubai, semalam.

Beliau turut berkongsi hadiah untuk Kategori Kecemerlangan Sains dan Teknologi dalam Alam Sekitar dengan ahli sains India, Ashok Kosla. Hadiah ini dianugerahkan kepada individu atau pertubuhan yang telah menunjukkan kepimpinan cemerlang hingga membawa kepada perubahan besar dalam pengurusan alam sekitar dunia.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh MIGHT, Zakri mempunyai kerjaya cemerlang peringkat antarabangsa termasuk memimpin beberapa badan global dalam bidang alam sekitar.

Antaranya ialah sebagai pengerusi Badan Antara Kerajaan Mengenai Biodiversiti dan Ekosistem dan ahli Lembaga Penasihat Sains kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon.

Pada tahun 2005, Zakri berperanan sebagai pengerusi bersama kajian raksasa yang melibatkan lebih 2,000 saintis dari 95 negara yang dikenali dengan nama Millennium Ecosystem Assessment.

Zakri dan rakan-rakan telah menunjukkan bahawa kegiatan manusia dalam 50 tahun kebelakangan ini telah mengubah ekosistem dunia lebih dari mana-mana tempoh dalam sejarah hidup manusia.

Zakri dalam reaksi pertamanya amat terharu dengan hadiah unggul tersebut.

"Hadiah ini hanya wujud dalam mimpi sahaja selama ini. Bagaimanapun dengan penuh rendah diri saya bangga dapat menunjukkan rakyat Malaysia boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain di dunia," kata beliau.

Hadiah ini diwujudkan pada 1999 oleh Sheikh Mohammad Rashid Al Maktoum, Naib Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Perdana Menteri dan Pemerintah Dubai untuk mengabadikan jasa Almarhum Sheikh Zayed Sultan Al Nahyan, Bapa UAE dalam bidang alam sekitar.

Kenyataan itu menjelaskan, hadiah ini terdiri dari tiga kategori iaitu kepimpinan global dalam alam sekitar, kecemerlangan sains dan teknologi dalam alam sekitar dan sumbangan dalam alam sekitar yang membawa kepada perubahan positif dalam masyarakat.

Pemenang kategori kepimpinan global dalam alam sekitar tahun ini ialah Putera Albert II dari Monaco di atas usaha-usaha beliau untuk memulihara alam sekitar. Pemenang Kategori III - Sumbangan dalam Alam Sekitar dianugerahkan kepada Paula Caballero Gomez dari Colombia dan Luc Hoffmann dari Switzerland.