Keputusan Kabinet meletakkan Lembaga Tabung Haji (TH) di bawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM) mulai Januari depan dipersetujui bekas Gabenor bank pusat itu, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Menurut beliau, ia merupakan langkah bijak untuk institusi seperti TH dikawal selia oleh satu badan pengawal seliaan.

“Keputusan itu sudah dibuat oleh kerajaan, jadi macam PNB (Permodalan Nasional Berhad) diletak di bawah kawal selia Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM).

“Jadi, perlu saya sokong (keputusan kabinet), (TH) mesti ada kawal selia oleh badan pengawal seliaan. Itu penting,” katanya di sidang media selepas perasmian Pusat Pengimejan Institut Jantung Negara-PNB.

Majlis tersebut disempurnakan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye di IJN hari ini dan turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub Dan Pengerusi IJN, Tan Sri Dr Mohd Nasir Mohd Asharaf.

Pada Isnin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof membuat pengumuman mengenai keputusan Kabinet meletakkan TH di bawah seliaan BNM bagi menambah baik tadbir urus organisasinya mulai Januari tahun depan.

Langkah berkenaan sebahagian daripada pelan pemulihan secara menyeluruh bagi memulihkan penyata kira-kira TH yang merekodkan defisit RM4.1 bilion pada 31 Disember 2017.