MELAKA: Sebahagian jalan di sekitar Banda Hilir di sini akan ditutup selama enam jam setiap Sabtu bermula minggu ini sebagai langkah percubaan pelaksanaan "Zon Bebas Kenderaan".

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka Datuk Rais Yasin berkata penutupan jalan sejauh kira-kira 2.3 kilometer bermula 6 petang hingga 12 tengah malam itu melibatkan Jalan Istana, Jalan Mahkamah, Jalan Gereja, Lorong Gereja, Jalan Laksamana serta sebahagian Jalan Tun Khalil Yaakob dan Jalan Merdeka.

"Tempoh percubaan penutupan jalan berkenaan akan dimulakan dengan program 'Ride and Run' pada Sabtu ini bermula 6 petang hingga 12 tengah malam dan kita akan menilai sambutan rakyat, pelancong dan peniaga berhubung inisiatif itu.

"Bagi melaksanakan tempoh percubaan Zon Bebas Kenderaan ini, kita turut menyediakan perkhidmatan kereta bugi khususnya untuk pelancong ke hotel atau tempat penginapan di laluan yang ditutup," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Program Kibar Jalur Gemilang Peringkat MBMB yang turut dihadiri Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman.

Mengulas lanjut, Rais berkata pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan bagi percubaan itu tidak melibatkan pemindahan kawasan tapak perniagaan seperti Uptown Pahlawan Walk.

Beliau berkata maklum balas sepanjang tempoh percubaan itu akan diambil kira bagi menambah baik inisiatif pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan secara kekal pada masa akan datang.

Sementara itu, Shadan berkata penutupan sementara jalan bersempena dengan pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan itu akan memberi ruang kepada peniaga kraf tangan di sekitar laluan yang ditutup seperti peniaga di Medan Samudera untuk berniaga di tepi jalan.

Beliau berkata bagaimanapun, kebenaran itu tertakluk pada beberapa syarat antaranya khemah yang digunakan perlu mengikut standard ditetapkan selain memastikan aspek kebersihan diberi keutamaan.

"Peniaga ini akan diatur berniaga di tepi jalan berbanding di dalam premis mereka dalam tempoh enam jam penutupan jalan itu mengikut konsep yang telah ditetapkan dan inisiatif ini juga akan melibatkan pelukis di tepi Sungai Melaka sebagai satu tarikan kepada pengunjung.

"Usaha yang dilakukan ini bukan sahaja dijangka dapat menarik kedatangan lebih ramai pelancong, malah juga dapat meningkatkan ekonomi peniaga kecil seperti kraf tangan di kawasan terlibat," katanya.

Shadan berkata setakat ini, pihaknya mendapat respons positif daripada kalangan peniaga di sekitar kawasan terlibat dan berharap pelaksanaan itu akan mendapat kerjasama semua pihak.

-- BERNAMA