MALAYSIA
Zunar papar potret wajahnya dilukis Anwar dari penjara

Kartunis Zunar yang terkenal dengan karya politik berunsur satira berkata lukisan tersebut dihasilkan pada Ogos 2001. Foto Astro AWANI/Shahir Omar.
SHAH ALAM: Zunar hari ini memaparkan sebuah potretnya yang dilukis oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa dalam tahanan di penjara.
Ringkasan AI
- Zunar dedah potret dirinya dilukis oleh PM Anwar Ibrahim dari dalam penjara pada Ogos 2001, mencetuskan tepukan gemuruh di majlis peluncuran buku biografi seninya.
- Potret itu dilukis semasa Anwar dipenjarakan selama 6 tahun bermula April 1999, selepas dipecat sebagai TPM, peristiwa yang mencetuskan gerakan reformasi politik dan seni.
- Zunar turut dikenang sebagai seniman lantang menentang kerajaan terdahulu, dengan sembilan tuduhan di bawah Akta Hasutan yang digugurkan pada 2018 selepas perubahan kerajaan.
“Katanya beliau melukis wajah saya, saya menghargai,” katanya semasa menyampaikan ucapan di majlis peluncuran buku biografi beliau ‘Melukis Dengan Hati - sebuah biografi seni 50 tahun’ di Perpusatakaan Raja Tun Uda pada Selasa.
Ratusan tetamu yang hadir turut memberi tepukan gemuruh selepas melihat lukisan yang dihasilkan sendiri oleh Perdana Menteri itu.
Selain Perdana Menteri, majlis tersebut turut dihadiri oleh isteri Perdana Menteri Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Perdana Menteri dipenjarakan pada 14 April 1999, selepas dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri yang keempat.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada ketika itu menjatuhkan hukuman penjara 6 tahun kepada beliau.
Susulan pemecatan itu telah mencetuskan gerakan reformasi melibatkan parti politik pembangkang, gerakan sivil, aktivis masyarakat serta golongan seniman.
Zunar juga tergolong dalam kalangan pengkarya seni yang lantang mengkritik pemerintah ketika itu dan dituduh sebanyak sembilan kali di bawah Akta Hasutan 1948.
Pada 30 Julai 2018, selepas kerajaan beralih daripada Barisan Nasional kepada Pakatan Harapan, Peguam Negara ketika itu, Tommy Thomas mengumumkan semua pertuduhan terhadap Zunar digugurkan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami