Kerajaan sudah bersedia untuk menyambut ketibaan 16 jenazah mangsa nahas MH17 dari Amsterdam, Belanda yang dijangka tiba di tanah air 22 Ogos ini.

Menurut Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, lima helikopter Nuri dan dua pesawat C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan digunakan bagi membawa jenazah ke kampung halaman masing-masing untuk disemadikan termasuk dua jenazah daripada Johor, lapor Bernama.

"Selepas upacara penghormatan di Kuala Lumpur, jenazah dari Pagoh, Muar dan Segamat akan dibawa menaiki helikopter Nuri ke kampung masing-masing.

"Saya berharap, semua rakyat Malaysia tidak mengira kaum, agama dan fahaman politik dapat memberi penghormatan secara tertib terhadap mangsa," katanya.

Hishammuddin berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Tanjong Piai di sini, hari ini.

Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai.

Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh, namun setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab.