Kepercayaan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak oleh pemberontak bersenjata di timur Ukraine adalah faktor di sebalik kejayaan membolehkan mayat mangsa MH17 dibawa keluar dari lokasi nahas dan kotak hitam diserah kepada pasukan Malaysia.

Pengerusi Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia, Dr Chandra Muzaffar berkata Najib mengadakan rundingan terus dengan ketua pemberontak, Alexander Borodai untuk diberi akses ke lokasi nahas, membawa pulang mayat mangsa dan mendapatkan kotak hitam.

"Mereka merasakan bahawa Malaysia, tidak seperti kuasa-kuasa Barat yang menyalahkan Rusia atau pemberontak pro-Rusia.

"Kita tidak menyalahkan sesiapa kerana kita tidak ada bukti. Kita mengambil pendekatan yang berbeza. Itulah sebabnya Borodai merasakan bahawa dia boleh mempercayai Najib.

“Pihak pemberontak merasakan bahawa Najib adalah pemimpin yang mereka boleh percaya,”katanya kepada Astro AWANI.

Ketua Kluster Politik, Majlis Profesor Malaysia, Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak, turut berpendapat bahawa Najib telah membina kepercayaan puak pemisah kepadanya dan mereka sanggup bekerjasama dengan Najib

"Borodai mempercayai Najib dan Najib mempercayai Borodai. Mereka tahu bahawa kita tidak mempunyai apa-apa kepentingan di dalam konflik mereka.

"Kita adalah mangsa dan kita tidak menyokong mana-mana pihak. Kita tidak menyalahkan Ukraine atau puak pemisah.

"Kami berusaha mencari siapa yang menyebabkan perkara ini berlaku. Kerana kita tidak menyalahkan sesiapa, tidak memihak kepada sesiapa dan bantuan diminta sebagai mangsa kerana kita tidak mempunyai sebarang kepentingan lain kecuali untuk kebajikan keluarga mangsa, pemberontak menurut apa yang diminta.

"Mereka tahu bahawa Najib adalah seorang pemimpin yang mereka boleh percayai," katanya.

Perjanjian rahsia Najib dengan pemberontak ekoran tragedi MH17, telah mendapat pengiktirafan dan pujian antarabangsa.

Banyak media antarabangsa yang menggelar usaha Najib sebagai usaha yang berani.

The Wall Street Journal melaporkan bahawa keputusan Najib untuk menghantar satu pasukan pegawai-pegawai ke zon perang untuk bertemu dengan pemberontak bersenjata dari sebuah kerajaan yang tidak diiktiraf, adalah satu langkah yang tidak ramai pemimpin Eropah akan cuba lakukan.

The New York Times pula melaporkan bahawa usaha Najib 'memberi tekanan kepada negara-negara yang jauh lebih berkuasa yang gagal mencapainya.'

“Baru-baru ini, ada ketikanya, saya berasa mahu menyuarakan dengan lantang kemarahan dan kepiluan yang dirasai rakyat Malaysia. Bagaimanapun, kadang kala, kita perlu bekerja secara senyap untuk mendapat hasil yang lebih baik,’ kata Najib ekoran rundingan rahsia itu.

Pada 22 Ogos lalu, hari yang diisytiharkan sebagai Hari Berkabung Malaysia, jenazah 20 rakyat Malaysia dibawa pulang ke tanah air dalam 17 keranda dan 3 kendi berisi abu mayat.

Jenazah telah diberi penghormatan mengikut adat istiadat ketenteraan serta diurus dengan amat teliti dalam istiadat penuh hormat.

Tiga lagi mayat dibawa pulang dua hari kemudian.

Hari ini, sembilan lagi mayat mangsa tragedi MH17 dibawa pulang iaitu juruterbang Kapten Wan Amran Wan Hussin dan Kapten Eugene Choo Jin Leong, Paul Goes bersama isteri Kaelamayajay Goes, Fan Shun Po serta isteri Loh Yan Hwa, Subashni Jretnam, Muhd Firdaus Abdul Rahim dan pramugara MAS Sanjid Singh Sandhu.

Mayat mereka dibawa pulang dengan pesawat komersial MH19 yang membawa lima keranda dan empat kendi berisi abu mayat.

Daripada 43 rakyat Malaysia yang terkorban dalam tragedi malang MH17 pada 17 Julai itu, 32 mayat warga Malaysia telah dikenal pasti setakat ini.