Insurans nyawa bagi waris penumpang pesawat malang MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu, telah mula diagihkan kepada mereka oleh syarikat-syarikat insurans di Malaysia.

Sehingga kini, bayaran sebanyak RM14.2 juta daripada jumlah keseluruhan (total exposure) iaitu RM18.7 juta telah diberikan kepada pewaris yang membuat tuntutan sejak beberapa minggu lalu tanpa perlu melalui proses tuntutan biasa.

Sejumlah 184 polisi insurans nyawa telah dikeluarkan oleh beberapa syarikat insurans di Malaysia. Baki sebanyak RM4.5 juta bayaran itu pula masih menunggu penghantaran dokumen rasmi oleh waris.

“Kami bersedia untuk membuat pembayaran lebih awal kepada tuntutan pewaris. Kami telah mengenepikan keperluan sijil kematian dan kami meletakkan perkara ini sebagai perkara paling penting untuk membayar tuntutan dalam masa seminggu dari tarikh resit dokumen penuh dikeluarkan,” kata Presiden Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Vincent Kwo.

Beliau turut menyeru agar ahli keluarga mangsa pesawat MH370 menghubungi pihak syarikat insurans dan menghantar tuntutan mereka dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh LIAM pada Khamis.

“Jika anda tidak pasti sama ada ahli keluarga anda yang berada dalam pesawat tersebut mempunyai insurans nyawa atau tidak, anda boleh menghubungi talian bebas tol LIAM di 03 26916628,” tambah Kwo.

Penerbangan MH370 membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 12.41 tengah malam 8 Mac dan hilang daripada skrin radar semasa terbang di ruang udara Laut China Selatan. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.