Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menafikan laporan CNN pada Khamis yang menyebut bahawa TUDM menghantar jet mencari pesawat Penerbangan Malaysia MH370 yang hilang pada 8 Mac dan hanya memaklumkan tindakan itu kepada Jabatan Penerbangan Awam tiga hari kemudian.

Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Rodzali Daud dalam satu kenyataan berkata: "Dalam kapasiti saya sebagai Panglima TUDM, saya boleh mengesahkan bahawa dakwaan itu adalah tidak benar sama sekali."

CNN pada Khamis menerusi laman webnya menyebut dengan memetik seorang pegawai kanan Malaysia yang tidak dinamakan sebagai berkata, pesawat TUDM dihantar sebelum data pihak berkuasa menunjukkan pesawat itu berpatah balik ke arah barat.

"Satu sumber yang terlibat dalam siasatan memberitahu CNN, tentera udara bagaimanapun tidak memaklumkan kepada Jabatan Penerbangan Awam atau pun operasi mencari dan menyelamat sehingga selepas tiga hari, pada 11 Mac," tambah laporan terbabit.