HUAWEI sedia membangunkan sistem operasi mereka tersendiri, dinamakan HarmonyOS.

Namun, ia masih berasaskan kepada Android, dan pada masa yang sama, Huawei juga menyertakan sokongan untuk aplikasi Android pada sistem operasi mereka.

Hal ini adalah dalam usaha memudahkan pengguna beralih kepada platform mereka, tanpa risau akan kekurangan aplikasi dan sebagainya.

Setelah beberapa tahun, kini Huawei dijangka melangkah ke fasa seterusnya melalui pengenalan Huawei Mate70 kelak.

Mengikut laporan Nikkei, Mate70 akan menjadi titik tolak seterusnya Huawei untuk beralih ke sistem operasi sendiri sepenuhnya, dan bebas daripada platform Android.

Dinamakan HarmonyOS Next, ia dibangunkan sepenuhnya dari awal, dan bebas daripada penggunaan sistem Android.

Penggunaan memori oleh sistem operasi baru ini dikatakan lebih efisien berbanding platform Android, selain turut menyokong kecerdasan buatan pada peranti.

Apa pun, kini cabaran utama adalah dalam menambah pelbagai koleksi aplikasi pada HarmonyOS.

Huawei sebelum ini telah mengumumkan yang mana HarmonyOS kini mempunyai 4,000 aplikasi yang dibangunkan khusus untuk platform berkenaan, dan bukan sekadar pertukaran aplikasi Android.

Tumpuan kini lebih diberikan untuk pembangunan aplikasi di China terlebih dahulu – dan dijangka diperluaskan ke rantau lain secara berperingkat.

Dengan pembangunan aplikasi khusus, ia menjadi setapak lagi dalam beralih sepenuhnya meninggalkan ekosistem Android – dan membentuk sistem operasi ketiga terbesar di dunia.

Perkembangan ini agak menarik untuk dilihat, memandangkan Microsoft dan BlackBerry gagal mencapai perkara berkenaan sebelum ini.

Apa pun, buat masa ini, tumpuan lebih diberikan kepada pasaran China terlebih dahulu, dan tidak diketahui lagi bilakah pasaran global akan turut menerima fokus sama bagi HarmonyOS Next.

Sama-sama kita nantikan pengenalan Mate70 kelak, dan melihat sama ada ia akan eksklusif untuk pasaran China, atau diperluaskan ke pasaran global. -Amanz